Syarat baharu kerjasama UMNO-PN kehendak akar umbi

Iklan

JOHOR BAHRU - Keputusan UMNO meletakkan syarat baharu sebelum membuat ketetapan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) selari dengan kehendak akar umbi parti.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, UMNO meletakkan kepentingan parti ketika membuat pertimbangan sebagai asas dalam penetapan pendirian tersebut.

Iklan
Iklan

"UMNO telah memperlihatkan soal kelangsungan, maruah serta masa depan parti perlu terus jadi keutamaan melangkaui matlamat untuk berkerajaan semula (secara mutlak) dalam pilihan raya yang akan datang.

"Ini satu rahsia yang diketahui umum iaitu kedudukan dan sokongan UMNO dalam PN selama ini sebenarnya merugikan UMNO," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

UMNO menerusi mesyuarat biro politik majlis tertinggi parti itu malam tadi mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan tersebut.

Parti itu memberi syarat baharu kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Iklan

Noor Azleen berkata, UMNO mempunyai kekuatannya tersendiri, sokongan akar umbi yang teguh dan tidak berbelah bahagi selain jentera di banyak peringkat yang bersedia menghadapi apa juga kemungkinan.

Katanya, apatah lagi soal dasar dan pengalaman menguruskan negara dalam pelbagai situasi, yang semestinya jauh lebih baik daripada PN.

Justeru, Pemuda UMNO Pasir Gudang menyokong keputusan dan pendirian terbaru parti berkenaan malam tadi.

"Sokongan ini akan turut disusuli dengan membahaskan perkara ini sebagai usul dalam mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Pasir Gudang pada awal November akan datang," katanya.