Menurutnya, berita yang disebarkan itu adalah berita palsu yang tersebar pada 2013 sebelum PRU dan ditularkan kembali.
"Saya dah buat laporan polis berhubung berita palsu ini pada 2013 dan saya hairan mengapa ia disebarkan kembali.
"Pada saya, kumpulan yang menyebarkan berita palsu ini ketandusan idea untuk mencetuskan isu perkauman dan merendahkan martabat sendiri,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azan berkata, nama restoran (Restoran Maya), Jalan Berserah, Kuantan sebagai lokasi pergaduhan yang didakwa itu juga tidak wujud.
"Sebagai wakil rakyat ketika itu, saya tidaklah sebodoh itu untuk bertengkar di tempat awam. Nama restoran pun tidak pernah wujud,” katanya.
Mengakui menerima banyak panggilan bertanyakan mengenai ‘cerita pergaduhan’ itu, Azan berkata beliau berharap semua pihak tidak terpengaruh dengan berita palsu yang disebarkan.
"Baru semalam pemimpin tertinggi iaitu bekas menteri ada telefon saya tanya pasal ni, maknanya, ia disebarkan secara meluas.
"Jadi, saya harap pembaca dan orang ramai tidak terpengaruh dengan berita palsu itu,” katanya.
Terdahulu, sebuah blog memaparkan gambar dan kisah pergaduhan antara Azan dan Lee Chean Chung yang didakwa berlaku disebabkan unsur penghinaan terhadap sidang Dun pada 19 November 2013.