SEPANG - Taktik pengedar dadah menyembunyikan ketamin bernilai RM1.7 juta dalam kotak makanan bijirin tidak berhasil apabila perbuatan itu berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Perbuatan itu dikesan dalam operasi sepasukan Cawangan Penguat Kuasaan JKDM Zon Tengah dan Cawangan Narkotik JKDM yang bertindak menahan dua lelaki warga asing di Ampang, Selangor pada 8 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam operasi kira-kira jam 2.05 petang itu, pihaknya merampas dadah disyaki ketamin seberat 30.68 kilogram yang disembunyikan di dalam kotak makanan bijirin.
"Sindiket menggunakan modus operandi dengan membalut serbuk ketamin itu dengan pembalut lut sinar aluminium sebelum dimasukkan ke dalam kotak makanan bijirin. Kotak itu kemudian dimasukkan ke dalam dua kotak bersaiz besar.
"Bagi mengaburi pihak berkuasa, suspek turut mengisi kotak makanan bijirin sebenar untuk diseludup menerusi kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam di sini hari ini.
Abdul Latif berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek berkenaan sudah lama berada dalam negara ini memandangkan mereka biasa dengan persekitaran di kawasan Ampang.
Malah, katanya, JKDM tidak menolak kemungkinan penglibatan warga tempatan dalam sindiket pengedaran dadah terbabit.
"Kedua-dua suspek berusia 37 dan 45 tahun direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Latif berkata, sebanyak 150 kes tangkapan dadah dilaksanakan JKDM sejak Januari lalu membabitkan nilai rampasan RM5.067 juta.