Syafie Naswip tak kisah dipanggil 'Mat Dan'

Iklan
Syafie Naswip. - Foto INSTAGRAM
SAMBUTAN hangat terhadap filem Polis Evo 2 membuatkan para pelakon turut menerima kesannya.

Secara tidak langsung, tentunya ada penonton yang lebih selesa menegur atau memanggil seseorang pelakon itu mengikut nama watak yang dijayakannya.

Bagi salah seorang pelakon filem berkenaan, Syafie Naswip, dia juga tidak kisah andai ada yang mula memanggilnya sebagai Mat Dan.

Malah sejak dulu lagi, ada yang memanggilnya dengan nama Mukhsin, Wadi, Ad atau pun Kadir.

"Meskipun saya bermula sejak kecil, tetapi saya anggap Polis Evo 2 dan Mat Dan adalah platform permulaan untuk saya sebagai seorang pelakon muda untuk mempelbagaikan teknik lakonan, kefahaman, ilmu dari sudut teknikal, emosi, teori mahupun praktikal.

"Saya membawa nama Yasmin Ahmad 12 tahun lalu, dan akan terus membawa namanya sampai akhir hayat.

"Dulu mungkin orang selesa memanggil saya Mukhsin, Wadi, Ad atau Kadir. Jadi saya okay je kalau anda nak mula panggil saya Mat Dan.

"Kerana saya rasa lebih disayangi bila orang menghargai hasil kerja saya. Kerja yang baik itu perlukan masa dan kesabaran.

"Jadi saya berusaha untuk ke arah itu. InsyaALLAH," tulisnya menerusi akaun Instagram miliknya.

Polis Evo 2 mencatatkan sejarah baharu dalam industri perfileman apabila mencatatkan kutipan RM3.5 juta pada hari pertama tayangannya dan menjadikan ia sebagai filem tempatan mencatat kutipan paling tinggi selepas Munafik 2 dan Hantu Kak Limah.