Terpaksa hidu habuk, debu setiap hari!

Iklan
Keadaan jalan di Kampung Tengah, di sini, merunsingkan penduduk kampung berkenaan.

SABAK BERNAM - Kira-kira 100 penduduk di Kampung Tengah, di sini, runsing kerana terpaksa menghidu habuk dan debu setiap hari berikutan kerja menaik taraf jalan kampung itu tidak dilaksana dengan sempurna pihak berwajib.

Seorang penduduk, Mohamad Yusak Tumiran, 64, berkata, masalah yang meruncing sejak Oktober tahun lalu itu timbul selepas jalan itu dinaik taraf.

Iklan
Iklan

"Asalnya jalan ini tak bermasalah pun, tapi bila dinaik taraf keadaan semuanya berubah.

"Kami terpaksa hidu habuk dan debu berterbangan setiap kali kenderaan melalui jalan berkenaan," katanya.

Iklan

Mohamad Yusak berkata, keadaan permukaan jalan berbatu sepanjang kira-kira 1.5 kilometer itu menyusahkan penduduk setempat.

"Struktur permukaan jalan ini tak rata dan mengundang bahaya pada waktu malam terutama kepada penunggang motosikal," katanya.

Iklan

Abdullah Hashim, 60, berkata, meskipun tiada kes kemalangan berlaku, namun pihak berwajib diminta segera bertindak.

"Kita berharap pihak berwajib atasi segera masalah membelenggu penduduk yang tidak berpuas hati setiap kali melalui jalan ini," katanya.

Katanya, jalan itu menjadi laluan alternatif yang menghubungkan penduduk di beberapa kampung ke Pekan Sabak.

"Jalan ini dilalui penduduk dari Kampung Tengah, Tebuk Jawa, Tebuk Berihun, Tebuk Mufrat dan Sungai Air Tawar," katanya.

Malah, katanya, keadaan bertambah teruk apabila habuk dan debu berterbangan memasuki rumah penduduk.

"Kami terpaksa menutup tingkap rumah setiap hari. Keadaan ini memberi tekanan kepada penduduk," katanya.