KOTA KINABALU - Parti yang mempertikaikan pelantikan wakil Pas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik mungkin bimbang bahawa kerjasama ini akan membawa hasil kerja yang lebih baik pada masa akan datang, kata Setiausaha Pas Sabah Dr Aliakbar Gulasan.
Menurutnya, beliau menyedari wujud pertikaian antara pihak pembangkang dan rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas pelantikan beliau sebagai ADUN dilantik minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pertikaian itu mungkin timbul salah faham daripada pihak lain berhubung Pas.
"Kita dalam konteks Pas mungkin ada seorang dua yang buat kesilapan dan dianggap seolah-olah semua orang begitu.
"Saya rasa dalam konteks politik matang, ia tidak begitu. Biar kita dinilai berdasarkan sejarah dan buktinya seperti Pas memerintah di Kelantan cukup lama tetapi tidak seorang pun kita zalimi dipaksa keluar agama, sama seperti di Kedah dan Terengganu, masih menjalani aktiviti dengan bebas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Aliakbar berkata, salah faham itu adalah bersifat hasutan dan mungkin dengan kerjasama ini pihak tertentu akan tercabar jika hasilnya lebih baik daripada sebelum ini.
"Saya ingat ia satu salah faham dan ini adalah cara yang menyalahi undang-undang dan bersifat hasutan. Mereka bimbang kita buat kerja dengan cantik dan mereka akan tercabar kita membarisi barisan ADUN kerajaan.
"Saya sebagai di pihak Pas, salah faham ini harus diperbetulkan menerusi kerjasama dan bagi mereka yang sengaja menimbulkan provokasi, saya nasihatkan supaya kita raikan demokrasi," katanya.
Diminta mengulas berhubung kerjasama GRS yang semakin positif sejak pelantikan itu, beliau menganggap ia sebagai permulaan yang baik dalam barisan yang sama untuk memastikan Sabah terus maju bersama rakyat.
Terdahulu, dalam kenyataan media beliau hari ini menyokong tindakan dan langkah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang akan membina 11 pusat kebudayaan di daerah terpilih di Sabah.
"Saya juga bersetuju dengan kenyataan Menterinya, Datuk Jafry Ariffin yang menyatakan bahawa pusat kebudayaan yang akan dibina itu bukan sahaja untuk mempromosi adat budaya masyarakat tetapi juga untuk tujuan komersialkan produk pelancongan.
"Usaha ini diyakini dapat menyemarakkan aktiviti kebudayaan dan persuratan sekali gus memperkenalkan kekayaan budaya masyarakat di Sabah dan hasil karya penggiat seni tempatan," katanya.