PKPB: Atlet diminta patuhi SOP

Iklan
Jefri Ngadirin

KEBANYAKAN atlet kebangsaan meneruskan latihan mereka seperti biasa, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di pusat latihan masing-masing, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini hingga 27 Oktober.

Pengarah Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, ia termasuk sukan akuatik iaitu renang dan terjun serta sukan dalam dewan dan tempur seperti sepak takraw, karate, taekwondo, gimnastik dan wushu.

Iklan
Iklan

Namun katanya, beberapa sukan seperti ragbi dan boling padang membuat keputusan untuk menghentikan latihan manakala tenpin boling masih tidak dapat berlatih, kerana venue latihan berada di pusat komersial.

"Skuad ragbi lelaki dan boling padang memilih untuk berlatih sendiri di rumah, kerana bimbang dengan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dan tidak dapat mematuhi SOP yang ditetapkan. Tenpin boling pula termasuk dalam senarai yang tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerana sukan indoor dan berlatih di Sunway Pyramid.

Iklan

"Jadi pihak Sunway Pyramid sedang mendapatkan penjelasan daripada MKN sama ada skuad boling negara boleh berlatih atau tidak,” katanya ketika dihubungi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, program latihan berpusat bagi atlet yang sedang dilaksana oleh MSN dan Majlis Sukan Negeri, boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal di Kompleks MSN Bukit Jalil dan Keramat; Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, sepanjang tempoh PKPB.

Iklan

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan bahawa semua penganjuran sukan atau kejohanan tidak dibenarkan semasa tempoh PKPB, bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Jefri berkata, semua atlet yang terlibat, menjalani latihan dalam keadaan tertutup dan terkawal dan wajib menetap di asrama MSN bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

"Atlet meneruskan latihan seperti biasa dengan mengikuti SOP yang telah diperketatkan, seperti berlatih dalam kumpulan yang kecil, mengamalkan penjarakan fizikal, mengimbas aplikasi MySejahtera di setiap venue, memakai pelitup muka dan hand sanitizers serta tidak berkontak dengan pihak luar.

"Contohnya seperti hoki yang mempunyai jumlah pelatih yang besar, dipecahkan kepada kumpulan kecil. Perkhidmatan MSN dan Institut Sukan Negara seperti pemakanan serta rawatan kepada atlet juga diteruskan,” jelasnya.

Beliau berkata, walaupun pihaknya menjangkakan kebanyakan kejohanan hanya bermula Januari 2021, tetapi adalah penting bagi atlet meneruskan momentum latihan, untuk kekal berada pada tahap kecergasan yang optimum.

Menurut Jefri lagi, sekiranya atlet menghentikan fasa latihan kesediaan fizikal khusus atau ‘special physical preparation’ (SPP) untuk beberapa minggu, mereka terpaksa bermula dari fasa kesediaan fizikal umum atau ‘general physical preparation’ (GPP) kerana sudah kehilangan tahap kecergasan.

GPP merujuk kepada latihan untuk membina kecergasan, stamina dan kekuatan otot, manakala SPP merujuk kepada latihan spesifik dalam sesuatu sukan yang melibatkan teknik, skil dan kemahiran yang diperlukan dalam acara itu. - Bernama