MENJEJAKI awal tahun 2020, wanita ini mempunyai misi sangat penting untuk memastikan segala prospek pelancongan kesihatan di hospitalnya berjalan lancar serta memenuhi apa yang diingini dan dirancangkan oleh pihak pengurusannya.
Biarpun tidak menang tangan dibuatnya berikutan pelbagai aspek perlu diambil perhatian jitu, namun Eksekutif Kanan, Pusat Perkhidmatan Pesakit Antarabangsa (IPC) Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Hemakumari Sugayindran ini bersama rakan sekerjanya begitu komited dan bersemangat sekali untuk menjayakan perancangan itu.
Ini memandangkan PHKL mempunyai misi sangat penting pada tahun ini untuk sektor penawaran pelancongan kesihatannya bagi menarik lebih ramai lagi kedatangan warga antarabangsa untuk memilih hospital berkenaan dalam mendapatkan kepelbagaian rawatan perubatan.
Apatah lagi, Hemakumari bersama rakannya difahamkan bahawa jumlah ketibaan pelawat kesihatan antarabangsa dijangka meningkat tahun ini berikutan kempen Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 (MyHT2020) yang sepatutnya dianjurkan bersama Tahun Melawat Malaysia 2020.
Berdasarkan faktor itu dan ditambah perkembangan pelancongan kesihatan yang begitu memberangsangkan saban tahun di hospital berkenaan, PHKL komited mewujudkan unit khas, IPC, awal tahun ini khusus untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelawat kesihatan antarabangsa.
Biarpun begitu, pandemik koronavirus (Covid-19) yang menyerang bukan sahaja peringkat global tetapi juga Malaysia sehingga memberi impak sangat hebat dalam pelbagai sektor termasuklah industri pelancongan kesihatan negara bukan sahaja mengejutkan Hemakumari bahkan penggiat lain sektor berkenaan.
"IPC bukan sahaja lebih ‘designated’ untuk memenuhi permintaan pelancong kesihatan tetapi ia sangat selesa dan berada di tingkat bawah sekali gus memudahkan segala urusan pendaftaran dan konsultasi.
"Penubuhan unit IPC pada awal Februari kerana kami menjangkakan akan adanya penambahan jumlah pelawat kesihatan asing. Tetapi, tidak sangka pula ia jadi begini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah baru-baru ini.
Tetap ada permintaan
Biarpun terkesan dan mengakui wabak itu sedikit sebanyak menjejaskan sektor pelancongan kesihatan di hospital itu, namun beliau berkata situasi berkenaan langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk terus memberi yang terbaik kepada pelawat kesihatan sedia ada khususnya yang tidak mahu kembali ke negara asal selagi rawatan belum selesai.
Mereka yang kebanyakannya adalah pesakit kanser warga Indonesia yang sedang menjalani rawatan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diulit kebimbangan sekiranya pulang ke negara asal kerana ada kemungkinan besar berhadapan kesukaran untuk kembali ke Malaysia bagi meneruskan rawatan selanjutnya.
Biarpun begitu, ada perkembangan memberangsangkan industri pelancongan kesihatan negara pada ketika ini yang dilihat berada dalam fasa pemulihan sebaik kerajaan mengumumkan pintu sempadan negara dibuka bagi tujuan itu secara berfasa mulai 1 Julai lepas.
"Semasa PKP kami tidak menerima begitu banyak panggilan daripada warga antarabangsa berikutan penutupan pintu sempadan negara.
"Namun, selepas kerajaan mengumumkan pembukaan pintu sempadan untuk industri pelancongan kesihatan, IPC tidak henti-henti mendapat panggilan daripada pesakit seluruh dunia yang mahu mendapatkan rawatan perubatan di PHKL.
"Kebanyakannya pesakit baharu yang ingin mengetahui perkembangan terkini bagi mendapatkan rawatan di sini dan antara rawatan yang jadi tumpuan adalah onkologi, pediatrik, kardiologi, neurosugeri, ortopedik, gastroenterologi”, katanya.
Walaupun sempadan negara untuk tujuan pelancongan kesihatan sudah dibuka kepada warganegara luar sejak 1 Julai lepas secara berfasa, namun ia hanya melibatkan pesakit kritikal serta pelancong kesihatan yang mempunyai masalah kesihatan serius dan memerlukan rawatan segera seperti penyakit kanser dan jantung. Pesakit juga harus memiliki surat temujanji dari hospital yang adalah ahli Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).
Biarpun begitu, kebenaran diberikan adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat termasuklah menjalani ujian Covid-19 (PCR), kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia selain membabitkan hanya pesawat ambulans, pesawat peribadi atau pesawat sewa khas bagi mengekang penularan Covid-19 membabitkan kluster import.
Keselamatan rakyat Malaysia
"Tidak dinafikan, setiap bisnes inginkan pulangan keuntungan tetapi di PHKL tidak sebegitu. Walaupun pintu sempadan telah dibuka bagi tujuan pelancongan kesihatan, keselamatan rakyat Malaysia, doktor serta kakitangan PHKL adalah lebih diutamakan.
"Kerana itulah antara syarat ditetapkan kerajaan adalah mereka perlu memiliki surat temujanji daripada hospital berkenaan selain pelaksanaan SOP yang sangat ketat untuk masuk ke Malaysia.
"Kami di IPC akan mendapatkan persetujuan daripada doktor yang berkenaan terlebih dahulu sama ada mahu terima atau tidak pesakit antarabangsa berdasarkan laporan kesihatan pesakit di negara asal mereka,” katanya.
Namun begitu, apa yang menariknya sepanjang mengendalikan panggilan daripada pesakit antarabangsa ini semasa pandemik Covid-19, Hemakumari memberitahu kebanyakannya langsung tidak menjadikan wabak berkenaan sebagai halangan untuk terus mendapatkan rawatan di sini.
Bagi mereka, biarpun Malaysia kini berada dalam situasi membimbangkan berikutan bilangan kes baharu Covid-19 yang ketika ini masih terus kekal tiga digit dengan mencatatkan 563 kes baharu setakat dilaporkan Isnin, 12 Oktober, namun ia tidaklah merisaukan pelancong kesihatan ini berbanding dengan apa yang berlaku di negara mereka.
Kebanyakannya yakin bahawa Malaysia akan mampu untuk meratakan kembali lengkung pandemik mahupun membendung kembali wabak itu dengan cukup berkesan sepertimana yang dilakukan sebelum ini sehingga mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuklah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam satu laporan media awal September lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata WHO juga mengiktiraf sistem kesihatan di Malaysia mempunyai asas kukuh dalam menangani pandemik Covid-19 melalui pengalaman lepasnya.
Malah, Malaysia sekali lagi merangkul anugerah ‘Pelancongan Kesihatan dan Perubatan: Destinasi Terbaik Tahun Ini’ pada Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 di London akhir September lepas sekali gus menandakan ini kali keempat negara meraih gelaran itu setelah memenanginya tiga kali berturut-turut dari 2015 sehingga 2017.
Kesemua ini antara faktor yang menarik minat pelancong kesihatan untuk mendapatkan rawatan di sini selain didorong oleh kualiti perkhidmatan bertaraf dunia, kos rawatan berpatutan mahupun terkenal sebagai destinasi pelancongan Muslim.
Pendekatan digital
"Mereka langsung tidak tanya hospital ini ada kes Covid-19 atau tak, bagaimana keadaan wabak ini di Malaysia. Mereka hanya ingin tahu bagaimana untuk mendapatkan rawatan ketika ini kerana pelancong kesihatan ini yakin dengan cara Malaysia mengendalikan Covid-19,” katanya.
Hakikatnya, bukan sahaja PHKL yang terjejas sektor penawaran pelancongan kesihatannya tetapi juga majoriti institusi perubatan swasta negara mahupun global turut tidak terkecuali. Di Thailand misalnya, Bumrungrad International Hospital di Bangkok turut terjejas berikutan lebih 50 peratus pesakitnya adalah pelancong kesihatan antarabangsa.
Bagi menanganinya, Bumrungrad International Hospital telah mula mengaktifkan perkhidmatan ‘tele-rundingan’ iaitu perkhidmatan rundingan dalam talian, begitu juga kebanyakan hospital lain seluruh dunia termasuk PHKL.
Mengulas mengenainya, Pegawai Perubatan Kanan Bahagian Kecemasan PHKL, Dr Mohd Ridzuan Abdul Razak berkata perkhidmatan tele-rundingan yang disediakan oleh hospital adalah bagi memastikan kesihatan pesakit antarabangsa ini terus dipantau doktor biarpun berjauhan.
"Bagaimanapun, perkhidmatan ini hanya diberikan kepada pesakit sedia ada yang sudah ada rekod kesihatan mereka di PHKL. Untuk tele-rundingan, ia tidak ditawarkan kepada pesakit baharu sebab kita tidak tahu bagaimana rekod kesihatannya sebelum ini.
"Bagi pesakit yang memerlukan rawatan seperti fisio, adalah sebaiknya mereka berjumpa dengan mana-mana doktor di negara masing-masing. Kami boleh berbincang dengan doktor di sana akan perkembangan kesihatan pesakit itu, rawatannya sebelum ini dan e-mel segala laporan kesihatannya,” katanya.
PHKL juga menawarkan perkhidmatan penghantaran pos ubat kepada pesakit warga luar yang sebelum ini pernah menerima rawatan di hospital berkenaan dan bukannya pesakit baharu. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jenis ketahanan ubat serta kawasan penempatan seseorang pesakit itu.
Sekiranya ubat itu tidak sesuai untuk penghantaran jauh, beliau berkata PHKL biasanya akan menyarankan mereka untuk membeli sendiri ubat itu di negara pesakit.
Pasti bangkit
Mengenai industri pelancongan kesihatan negara secara keseluruhannya, Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Sherene Azli berkata tidak dinafikan bahawa sektor itu begitu terjejas sejak bermulanya penutupan sempadan negara malah perkembangannya dijangka akan menyusut pada tahun 2020 dan 2021.
Namun begitu, MHTC secara amnya telah bersedia untuk menangani sebarang gangguan pada kemerosotan aliran masuk pelancong kesihatan ketika ini dengan mempelbagaikan usaha termasuklah sentiasa berbincang dengan pihak kerajaan, pemimpin industri dari sektor awam dan swasta untuk menaiktaraf Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang memenuhi keadaan semasa.
Akibat impak negatif itu, MHTC menurunkan sasaran pendapatan pelancongan perubatan untuk tahun 2020 kepada RM500 juta berbanding sasaran asal yang ditetapkan iaitu RM2 bilion. Sherene berkata unjuran itu berkurangan lebih 70 peratus bagi tahun ini.
"Berdasarkan tindak balas Malaysia yang cemerlang di peringkat tempatan dalam menangani pandemik Covid-19 (berdasarkan pengalaman sebelum ini), ia telah membolehkan negara ini melaksanakan gelembung perjalanan pelancongan kesihatan dan meneruskan aktiviti pelancongan kesihatan.
"Ianya dilakukan dengan cara yang selamat untuk pesakit yang masuk ke negara ini sambil mengambil kira juga faktor keselamatan negara. Tatacara pengendalian piawai (SOP) yang ketat juga telah membolehkan ekonomi kita pulih secara beransur-ansur.
"Walaupun kami menjangkakan pasaran pelancongan kesihatan akan mengecil pada tahun 2020 dan 2021, MHTC telah mengambil langkah proaktif terutama dalam menjaga hubungan dengan rakan kongsi dan pemegang taruh kami melalui webinar dan perbincangan.
"Melalui langkah ini, kami berharap untuk menumpukan usaha bagi mendorong pertumbuhan industri yang mapan agar Malaysia terus dikenali sebagai ‘World’s Healthcare Marvel’,” katanya.
Malaysia sekian lama telah meletakkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan untuk bidang perubatan seperti kardiologi, kesuburan, ortopedik, urologi, pergigian, pembedahan kosmetik dan banyak lagi.
Untuk tahun lepas sahaja, sektor pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia mencatatkan hasil sebanyak RM1.7 bilion dengan 1.3 juta ketibaan pelancong kesihatan dari pelbagai negara.
"Pelancong kesihatan kebiasaannya adalah dari Indonesia kerana negara itu menyumbang 60 peratus daripada jumlah kemasukan selain warga Australia, Bangladesh, Jepun dan Brunei,” katanya. - Bernama