Wujudkan kerajaan Prihatin libat pembangkang: Pandikar Amin

Iklan
Pandikar Amin Mulia

SHAH ALAM - Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencadangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat rombakan Kabinet dan mewujudkan kerajaan Prihatin.

Beliau berkata, menerusi kerajaan Prihatin itu pemimpin-pemimpin dari pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dijemput untuk menyertai Kabinet.

Iklan
Iklan

"Dengan tindakan sedemikian, maka 'politiking' di Malaysia akan dapat dipinggirkan buat sementara waktu sehingga wabak koronavirus (Covid-19) dapat dikalahkan.

"Setelah wabak Covid-19 dapat ditangani, maka barulah PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) diadakan seperti yang dicadangkan oleh Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran menerusi satu kenyataan di sebuah portal berbahasa Inggeris tempatan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Iklan

Tegasnya, penubuhan kerajaan Prihatin ini amat penting bagi membuktikan kerajaan PN amat serius dan komited untuk memerangi wabak Covid-19.

Sementara itu, Pandikar Amin yang juga Ketua Umum Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) berkata, beliau juga sependapat dengan kenyataan Vigneswaran bahawa adalah sebaik-baiknya Parlimen tidak dibubar dan ditangguhkan (prorogue).

Iklan

Beliau berkata, ini kerana keadaan politik Malaysia sejak kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 menjadi bercelaru, tidak menentu sehingga menjurus kepada ketidakstabilan.

Menurutnya, ketidakstabilan politik Malaysia sejak PRU14 dapat dilihat daripada pertukaran tiga kerajaan dalam masa tidak sampai tiga tahun iaitu daripada BN kepada PH dan daripada PH kepada PN.

"Ini adalah merupakan bukti ketidakstabilan politik Malaysia dan keterjejasan ekonomi negara, ekoran dari politik yang tidak stabil menjadi lebih teruk apabila gejala wabak Covid-19 melanda Malaysia.

"Kini ada lagi tanda-tanda yang kita nampak dan dengar bahawa kedudukan kerajaan PN akan tergugat dan persoalan yang merunsingkan fikiran ramai rakyat Malaysia sekarang adakah belanjawan yang akan dibentangkan oleh kerajaan PN pada hujung tahun ini akan mendapat sokongan dari semua ahli Parlimen sewaktu ia dibahas atau tidak.

"Kalau Parlimen tidak meluluskan belanjawan pada hujung tahun ini, mungkin salah satu daripada dua perkara menurut Perlembagaan akan berlaku iaitu Parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan (Artikel 43 (2) ) atau Parlimen akan dilanjutkan usianya atau di 'prorogue' (Artikel 55 (2) )," katanya.

Pandikar Amin bagaimanapun berkata, jika berlaku 'proroging' (penangguhan), biarlah ia dibuat bukan atas alasan untuk memanjangkan usia kerajaan PN tetapi untuk keselamatan rakyat Malaysia kerana ia lebih penting daripada pilihan raya.

"Wabak Covid-19 yang melanda di Malaysia sekarang ini yang disifatkan oleh pihak-pihak yang berwajib sebagai gelombang kedua yang lebih mengancam dari gelombang pertama, terutamanya di Sabah ekoran dari mengadakan Pilihan Raya Negeri atas agenda politik semata-mata wajar dilihat dari sudut pandangan yang amat serius dan dibuat sebagai iktibar," katanya.