SHAH ALAM - Penaung Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara Malaysia (PKN), Zuraida Kamaruddin menafikan penglibatan pertubuhan itu dalam satu mesej yang tular di aplikasi WhatsApp berjudul"Arahan Kepada Media Penggerak Komuniti Negara & Perikatan Nasional”.
Menurutnya, PKN tidak menerima sebarang arahan daripada Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) seperti yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp tersebut.
Iklan
Iklan
"Saya juga menafikan sekeras-kerasnya penglibatan PKN serta kesemua sayap di bawah PKN yang terdiri daripada Nations of Women (NOW), Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara sama ada secara langsung mahupun tidak langsung ke atas perancangan tersebut.
"Saya berharap agar pihak yang tidak bertanggungjawab itu supaya menghentikan sebarang sebaran yang tidak benar," katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, fokus kerajaan PN adalah untuk memerangi wabak koronavirus (Covid-19) dan memulihkan ekonomi negara bagi memastikan supaya rakyat mendapat kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
Terdahulu tular di aplikasi WhatsApp berjudul"Arahan Kepada Media Penggerak Komuniti Negara & Perikatan Nasional” untuk mengeluarkan arahan berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin.
Artikel Berkaitan