ROMPIN - Pengusaha produk pelancongan di Pahang khususnya agensi pelancongan diminta tidak mengadakan aktiviti yang boleh menjejaskan hidupan marin seperti pakej menyentuh penyu atau terumbu karang.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, perbuatan demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43 dan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985.
Menurutnya, mana-mana orang yang berada di taman laut tidak boleh menangkap ikan, mengambil, mengalih atau memiliki hidupan atau tumbuhan akuatik sama ada hidup atau mati tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.
"Kita menerima aduan bahawa terdapat pengusaha pelancongan mengadakan aktiviti memegang penyu sebagai tarikan pelancong untuk mengambil pakej dengan mereka. Ini perbuatan yang salah.
"Akta mengenai penyu ini juga disebut secara jelas di bawah seksyen 27 Akta Perikanan 1985 iaitu tiada seorang pun boleh memancing, mengganggu, mengusik, menangkap atau mengambil penyu.
"Mohon ambil maklum dan tidak lagi menyediakan pakej-pakej sedemikian kerana jelas sekali hidupan marin di pulau-pulau yang digazetkan sebagai taman laut ini adalah dilindungi undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat lawatan pulau-pulau perairan Rompin bagi pembangunan produk baharu pelancongan Pahang di Tanjung Gemok di sini hari ini.
Ishak berkata, kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 maksimum, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Petugas Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Perikanan Pahang, Mohd Anuar Roslan berkata, Malaysia merupakan salah satu daripada 12 negara mega diversiti dunia kerana kaya dengan kepelbagaian biologi.
Menurutnya, selain Pahang empat lagi taman laut di negara ini iaitu di Terengganu, Johor, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kedah.
"Sembilan pulau di Pahang yang digazetkan sebagai taman laut adalah Pulau Tioman, Pulau Chebeh, Pulau Tulai, Pulau Labas, Pulau Jahat, Pulau Sepoi, Pulau Seri buat, Pulau Sembilang dan Tokong Bahara.
"Sembilan pulau ini meliputi keluasan perairan 542.11 kilometer (km) dan pulau Tulai adalah taman laut yang terbesar di Pahang iaitu seluas 401.70km diikuti Pulau Seri Buat seluas 95.65km dan Pulau Tokong Bahara iaitu 44.76km," katanya.