Pesara mengaku tidak bersalah cederakan kucing

Iklan
Tertuduh (tengah) dikawal anggota JPV Kelantan ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU - Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan bertindak kejam mencederakan seekor kucing milik jirannya pada Ogos lalu.

Tertuduh, Ab Hamid @ Fauzi Ismail, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, warga emas tersebut didakwa bertindak kejam terhadap seekor kucing sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan milik Nur Amalin Aishah Ariffin@Mukhtar, 28.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Lorong Raja Abdullah, Jalan Pintu Gang di sini pada jam 10.30 malam pada 17 Ogos lalu.

Iklan

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan, Mohd Sharif Sabran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rozihan Othman.

Iklan

Terdahulu, Mohd Sharif mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh, namun Rozihan memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan terhadap anak guamnya itu dengan alasan tertuduh sudah berusia.

Hakim Shahrul Rizal kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan tarikh 22 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan itu.

Terdahulu, media melaporkan dua ekor kucing ditembak dipercayai menggunakan pistol angin menyebabkan seekor mati manakala seekor lagi mengalami kecederaan pada telinga kanan.

Tindakan tidak berperikemanusiaan dengan menganiaya haiwan itu dipercayai dilakukan individu yang berang kerana kucing berkenaan kerap berkeliaran di kawasan rumahnya.