KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menzahirkan kepentingan meneguhkan perpaduan yang merupakan syarat untuk mencapai kemenangan dalam menegakkan agama.
Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Twitter Pas Pusat, Abdul Hadi menegaskan bahawa menjadi kewajipan untuk bersama-sama mengukuhkan perpaduan yang dibina.
"Semestinya menjadi satu kewajipan, perpaduan yang telah kita bina ini diteguhkan lagi agar memenuhi syarat-syarat kemenangan yang telah dijanjikan oleh ALLAH SWT kepada sesiapa yang menegakkan agamanya,” katanya.
Ciapan tersebut mengundang reaksi balas beberapa pengguna Twitter lain yang merasakan mengenai situasi politik yang melanda negara kini.
Terdapat juga reaksi yang menyokong saranan tersebut antaranya pemilik akaun @muhammadadzmy29.
"Tidak perlu risau ALLAH ada bersama kita,” katanya dalam ciapan balas tersebut.
Sebelum ini beberapa jam selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa lalu bagi mempersembahkan dokumen sahih membuktikan sokongan lebih 120 ahli parlimen terhadapnya, Majlis Tertinggi UMNO mengumumkan parti itu mempertimbangkan semula sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu parti itu akan menetapkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan PN.
Sejak itu timbul pelbagai spekulasi di antaranya dakwaan bahawa UMNO mahukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggugurkan tuduhan terhadap beberapa pemimpinnya terutama Presidennya yang menghadapi kes jenayah di mahkamah.