IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini hari ini.
Menerusi kenyataan media Pejabat Menteri Besar Perak, acara angkat sumpah yang berlangsung pada jam 10.30 pagi itu dibuat di hadapan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Pelantikan Aznel dibuat bagi menggantikan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang kini diberikan amanah baharu bagi menguruskan hal ehwal berkaitan tanggungjawab Ahmad Faizal selaku Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan lain-lain urusan di peringkat Persekutuan.
Pada 12 Oktober lalu, Aznel dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa serta-merta menggantikan Iskandar Dzulkarnain yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Ahmad Faizal dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan pelantikan Aznel itu sebagai manifestasi komitmen terhadap kerjasama dengan UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan tadbir urus dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan utuh.
Menurutnya, dengan pelantikan itu diharap mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama yang sedia terjalin di antara kepimpinan Bersatu, UMNO dan rakan-rakan dalam PN.
Aznel merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik menjadi ADUN Pengkalan Hulu sejak tahun 2013.
ARTIKEL BERKAITAN: ADUN UMNO dilantik Setpol MB Perak