Langgar kuarantin: Khairuddin minta AG umum hasil siasatan

Iklan
Mohd Khairuddin (dua dari kiri) melihat mesin ventilator yang disumbangkan kepada Zaleha (dua dari kanan).

SEREMBAN - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berharap Jabatan Peguam Negara dapat mengumumkan segera hasil siasatan kes beliau yang dikatakan melanggar arahan kuarantin wajib.

Menurutnya, beliau menyerahkan kepada kerajaan untuk bertindak sekiranya terbukti melakukan kesalahan.

Iklan
Iklan

"Tunggulah AG (Peguam Negara) mengumumkan hasil siasatan dan saya sangat terbuka dan saya sendiri mengharapkan disegerakan pengumuman hasil siasatan itu.

"Saya 'diikat' kaki dan tangan untuk bercakap daripada awal isu ini berlaku... saya biar, tak bercakap walaupun sepatah, melainkan menyerahkan kepada pihak berkuasa.

Iklan

"Polis pun telah panggil saya untuk disiasat dan saya terbuka beri kenyataan," katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada majlis Penyampaian Mesin Ventilator Sumbangan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menerusi kementeriannya di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah HTJ, Dr Zaleha Mohd Noor.

Iklan

Mengulas lanjut beliau berkata, beliau mengambil pendekatan tidak mengulas berkenaan isu ini dan akan mengeluarkan kenyataan selepas hasil siasatan diumumkan pihak Peguam Negara.

"Kena tunggu apa hasil siasatan barulah timbul isu ada pendakwaan atau tidak. AG kena tengok dulu apa hasil siasatan.

"Bagi saya, saya puas hati dengan kenyataan yang telah saya buat kepada polis dan sekarang saya serah kepada AG," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Khairuddin dikompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) sebanyak RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin.

Di bawah Akta 342, kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warga negara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta342).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempertikaikan mengenai ketidakpatuhan arahan kuarantin oleh Mohd Khairuddin ketika persidangan Dewan Rakyat