IPD Gombak tamatkan 6 sekatan jalan raya, 3 penutupan jalan

Iklan
Kesesakan lalu lintas di lokasi sekatan jalan raya di KM14 Jalan KL-Ipoh dari arah Rawang ke Kuala Lumpur semalam.

GOMBAK - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menamatkan enam sekatan jalan raya dan tiga penutupan jalan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, keputusan itu juga dilakukan bagi membolehkan anggotanya menjalankan pemantauan pematuhan di kawasan tumpuan awam termasuk pasar raya, pasar awam, pusat komersial dan aktiviti riadah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, dua lokasi sekatan jalan raya baharu akan dilaksanakan iaitu sebelum Plaza Tol Gombak dari arah Bentong dan selepas Plaza Tol Rawang dari arah Sungai Buloh.

"Arahan baharu ini berkuat kuasa jam 12.01 malam tadi.

Iklan

"Justeru orang ramai dinasihati terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB atau berdepan tindakan kompaun sekiranya terdapat ketidakpatuhan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan trafik di KM14 Jalan KL-Ipoh dari arah Rawang ke Kuala Lumpur hari ini kembali lancar selepas IPD Gombak menamatkan sekatan jalan raya dalam tempoh PKPB yang bermula semalam.

Semalam, Sinar Harian melaporkan IPD Gombak mengadakan enam sekatan jalan raya dan tiga penutupan jalan bagi tempoh PKPB yang bermula semalam hingga 27 Oktober.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB: IPD Gombak tutup tiga jalan, enam sekatan jalan raya

Dua daripada lokasi sekatan jalan raya itu melibatkan sempadan antara Gombak dengan Sentul, dua lagi laluan ke Wangsa Maju dan dua lagi melibatkan sempadan Petaling Jaya serta Hulu Selangor.

Sementara tiga jalan yang ditutup di Jalan Gombak Lama-Genting Sempah (Simpang Kuari), simpang masuk jalan ke Selayang Pandang (KM14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh) dan jalan besar Selayang Baru (sebelum Petron Jalan Ipoh).

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di KM14 Jalan KL-Ipoh dari arah Rawang ke Kuala Lumpur yang menjadi salah satu lokasi sekatan jalan raya hari ini mendapati trafik kembali lancar berbanding semalam.