Gantung Parlimen, tumpu usaha sekat Covid-19

Iklan
SA Vigneswaran

SHAH ALAM - Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mencadangkan agar Parlimen digantung (prorog) supaya kerajaan dapat memberi tumpuan kepada usaha menyekat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, penggantungan Parlimen itu juga dilihat sebagai langkah terbaik untuk membantu kerajaan menjaga ketenteraman awam, ekonomi dan memastikan kestabilan politik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan tindakan itu turut dinyatakan melalui Artikel 55 (2) Perlembagaan Persekutuan iaitu 'Yang di-Pertuan Agong dapat membuat prorog atau membubarkan Parlimen'.

"Semasa penggantungan Parlimen, persidangan Parlimen akan ditangguhkan dan urusan negara akan terus dikendalikan oleh pemerintah sekarang.

Iklan

"Ia sekali gus dapat memastikan pentadbiran negara berjalan lancar di samping kerajaan dapat mengekang penularan Covid-19 serta mengelakkan berlaku pergolakan politik," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Vigneswaran berkata, penggantungan Parlimen boleh ditamatkan setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memastikan wabak Covid-19 sudah berkurangan dan selamat untuk mengadakan pilihan raya.

Iklan

"Jika penggantungan Parlimen ini dibuat, ia akan menjadi pelaksanaan pertama serta penyelesaian bersejarah dilakukan di negara ini bagi memerangi pandemik Covid-19 yang sudah mengorbankan ramai nyawa rakyat Malaysia sejak awal tahun ini," katanya.