ALOR SETAR - Tabung Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang dilancarkan di atas talian pada 3 Januari lalu kini telah mencecah angka RM50,000.
Difahamkan perbelanjaan bagi menampung kos perbicaraan kes Akhyar Rashid di Switzerland memerlukan kira-kira RM100,000.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, beliau percaya sasaran untuk mencecah angka kos keseluruhan akan tercapai selepas peningkatan memberangsangkan yang ditunjukkan dalam tempoh kurang sebulan tabung berkenaan dilancarkan.
"Pengurusan KFA menegaskan prinsip kita dalam perlembagaan dan undang-undang. Saya juga mendapat nasihat barisan peguam agar tidak mengulas sangat berhubung isu ini.
"Sebab itu jangan silap kerana baru-baru ini tular gambar Jasnie Shafie (Pengerusi Media KFA) berada di Switzerland. Kononnya dia membuat lawatan ke CAS, tetapi sebenarnya tidak benar, ia tidak berkaitan dengan urusan KFA,” katanya kepada media namun enggan mengulas lanjut.
Tambahnya, sekiranya tidak mempunyai halangan beliau percaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menerima surat dari peguam KFA berhubung perkara itu.
"Isu sama ada kami akan berpuas hati atau tidak (dengan keputusan CAS nanti), ia tidak perlu dipersoalkan kerana KFA akan sentiasa mematuhi setiap prosedur yang dibuat sehingga ke peringkat tertinggi," katanya.
Sebelum ini, KFA melancarkan tabung tersebut dan jelas mendapat sambutan yang mengalakkan dari penyokongnya termasuk penyokong pasukan lain dalam usaha mempertahankan prinsip serta undang-undang yang terletak di bawah FAM dan persatuan itu.
Sebelum ini media melaporkan KFA kini dalam proses akhir untuk memfailkan kes Akhyar ke CAS dan pintu rundingan dengan mana-mana pihak di negara ini sudah ditutup.