PASIR PUTEH - Orang ramai yang berkunjung ke Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini dinasihatkan supaya menjauhi aktiviti air susulan kemunculan seekor buaya tembaga di kawasan itu petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, langkah itu bagi mengelakkan pengunjung berdepan ancaman reptilia tersebut sekiranya turun mandi-manda, memancing atau mencari hidupan laut seperti kerang dan sebagainya.
"Kita bimbang jika aktiviti itu dilakukan, ia boleh menarik sang bedal untuk menghampiri kawasan tersebut," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, golongan nelayan pantai turut diingatkan supaya sentiasa peka dan waspada jika ternampak kelibat reptilia itu.
Menurut beliau, sebagai langkah awal APM Pasir Puteh telah menempatkan anggotanya terutama pasukan penyelamat pantai untuk bertugas di lokasi itu bagi memberikan nasihat kepada pengunjung.
"Nasihat kami, jika pengunjung ternampak buaya langkah pertama ialah segera meninggalkan lokasi dan memaklumkan perkara itu kepada anggota APM yang bertugas.
"Kalau ada yang mahu menangkap reptilia itu secara bersendirian hindarilah kerana tindakan anda itu boleh mengundang risiko," katanya.
Sinar Harian Online hari ini melaporkan, penduduk di sekitar Pantai Bisikan Bayu, Semerak dikejutkan dengan kehadiran seekor buaya tembaga yang muncul di kawasan berkenaan malam tadi.
Kehadiran reptilia berukuran lebih tiga meter itu disedari oleh penduduk kira-kira jam 7.30 malam.
Terdahulu, difahamkan buaya itu dilaporkan telah muncul dan kemudian berjemur di persisir Pantai Kuala Besut, Terengganu pada jam 2.30 petang semalam.
Haiwan itu kemudian dipercayai berenang dari Kuala Besut sebelum timbul di Pantai Bisikan Bayu yang terletak kira-kira enam kilometer (km) dari tempat kejadian.