Tiada kaunter pendaftaran di pintu masuk Pasar Harian Selayang

Iklan
Keadaan di luar Pasar Harian Selayang terkawal dan trafik juga lancar sewaktu tinjauan dilaksanakan hari ini. (Abdullah, Muhd Afiq, Intan Suhaila)

KUALA LUMPUR - Ketiadaan buku daftar nama dan alat pemeriksaan suhu di pintu masuk Pasar Harian Selayang di sini menggusarkan pelanggan dan peniaga.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mendapati, pengunjung terus masuk ke dalam pasar tanpa melakukan pemeriksaan dan pendaftaran terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

Perkara itu disahkan sendiri oleh seorang pengunjung, Abdullah Osman, 65, yang kebetulan berada di lokasi untuk membeli santan bagi perniagaan nasi lemak yang diusahakannya di Batu Muda.

Abdullah berkata, kawalan tidak seketat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Mac lalu dengan meletakkan petugas di laluan masuk pasar harian itu.

Iklan

"Boleh dikatakan hampir setiap hari saya ke sini untuk membeli santan dan juga barang-barang lain. Kebiasaannya terus ke kedai dan menulis nama serta periksa suhu di kedai tersebut.

"Kalau boleh saya cadangkan diletakkan petugas di pintu masuk, terus daftar nama dan semak suhu di situ untuk elak risiko," katanya.

Iklan
Keadaan dalam Pasar Harian Selayang sewaktu tinjauan hari kedua PKPB yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak semalam.

Sementara itu, peniaga, Intan Suhaila Samsudin, 32, mengambil inisiatif membeli alat pengesan suhu sendiri bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

"Mungkin baru dua hari PKPB jadi penguatkuasaan dan petugas belum ditempatkan lagi namun saya harap perkara ini diberikan perhatian kerana ia melibatkan keselamatan di tempat awam," katanya.

Seorang pekerja pasar, Muhd Afiq Shahrul Kamal, 23, turut berharap sistem pemantauan itu dipertingkatkan bagi menarik keyakinan pelanggan.

"Saya yakin kalau sistem keselamatan ini dipertingkatkan lebih ramai orang awam akan membeli keperluan di sini," katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian berusaha mendapatkan penjelasan mengenai masalah ini kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh PKPB yang dilaksanakan hingga 27 Oktober ini, pasar harian dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 2 petang sementara pasar borong pula dibenarkan beroperasi dari jam 4 pagi hingga 2 petang.