DARIPADA sebuah artikel dalam majalah Economist, dimaklumkan sekelompok tokoh Arab elit ‘sekular' sedang muncul.
Mereka secara agresif sedang menonjolkan agenda sekularisasi, malah berhasrat menyaingi dan memintas pembangkang dalam kalangan golongan Islamis.
Ini akan menyenangkan hati golongan kelas menengah dan dalam proses tersebut mengukuhkan cengkaman tirani mereka terhadap golongan aktivis Islam sekali gus mengekalkan kuasa mereka ke atas rakyat yang sama sekali tidak berani membantah.
Penguasa despot (diktator) Arab di rantau itu pernah cuba menjinakkan golongan Islam tetapi sekarang mereka melihat aktivis Islam sebagai ancaman terbesar kepada penguasa Arab.
Dengan menyekat pengaruh golongan ulama, mereka menyangka ia akan menguatkan kuasa mereka ke atas rakyat. Kini ramai pemimpin Arab sekular berhajat untuk membentuk masyarakat sekular dan toleran dengan harapan akan menyisihkan dan mematikan gerakan Islam.
Menurut akhbar Guardian, putera Saudi, Mohammad bin Salman bertekad untuk membawa negara Arab Saudi kepada ‘Islam moderat’ dan meminta sokongan global untuk menjayakan agendanya bagi merubah aliran keras yang dikatakan sedang merebak dalam kalangan rakyat.
Beliau berhajat membentuk masyarakat yang lebih terbuka, rakyat yang lebih berdaya dan sekali gus menarik pelabur. Pada hakikatnya beliau mahu bangsa Arab menjadi lebih pro-AS dan Israel.
Akan tetapi putera Saudi itu dalam menggerakkan agenda tersebut mempersalahkan pula Iran yang didakwa menyalurkan pemikiran ‘Islam radikal’.
"Apa yang berlaku selama 30 tahun yang lalu bukan Arab Saudi. Apa yang berlaku di rantau ini selama 30 tahun ini, bukan Timur Tengah. Selepas Revolusi Iran pada 1979, ada yang mahu meniru model itu di pelbagai negara, salah satu daripadanya ialah Arab Saudi itu sendiri.
"Kita tidak tahu bagaimana menanganinya. Ia merebak ke seluruh dunia. Sekarang masanya untuk menghapuskan aliran itu.
”Menjadikan Iran sebagai alasan bertindak ke atas gerakan Islam adalah sealiran dengan kemahuan AS dan Israel. Mereka bersatu untuk kononnya berdepan dengan musuh yang satu,” kata Mohammad bin Salman.
Menyalahkan Iran dan rakyat Iran dalam semua masalah di dunia sekarang adalah pemikiran lama dalam kalangan putera Arab dan para Emir Arab termasuk juga dalam kalangan beberapa ulama. Ada golongan ulama yang menyalahkan poligami dan homoseksual berpunca dari Iran!
Benci
Fantasi xenofobia terhadap Iran serta ghairah dengan menjadi Muslim moderat sekali gus Muslim sekular dalam kalangan elit Arab sering dicampur dengan sentimen yang sejak turun-temurun dipegang oleh mereka iaitu membenci bangsa Parsi.
Sentimen ini sekian lama menjangkiti para putera Arab dan penasihat mereka. Secara halus sebenarnya ada kaitan dengan apa yang digelar putera Arab mengenai ‘Islam moderat’ dan ‘tirani sekular’.
Madawi Al-Rasheed pernah menulis,"Pemahaman Putera Raja Arab mengenai Islam moderat adalah projek untuk menekan mereka yang berpandangan berbeza.
Aktivis sering dipenjarakan dan pengkritik dipaksa tunduk kepada kehendak penguasa. ‘Islam moderat’ dijadikan slogan tetapi pada masa sama mereka mengabsahkan pemerintah untuk menjadi tiranikal dan sekular secara serentak
”Apa yang diuar-uarkan sebagai ‘Islam moderat’ adalah sebenarnya sebuah ideologi untuk menundukkan semua pengkritik kepada penguasa dominan dalam sistem ekonomi neo-liberal yang mulai dianuti golongan Arab elit.
Menerima dan mengabsahkan perampasan bumi Palestin oleh Zionis sebagai hakikat yang perlu diterima kini mulai kedengaran atas nama ‘Islam moderat’, malah ada negara Islam berlumba-lumba menjalin hubungan diplomatik dengan Israel yang kian terserlah.
Para elit Arab Saudi merubah kota-kota bersejarah menjadi pusat ekonomi yang rakus. Membeli senjata dari AS dengan kos berbilion dolar yang dikatakan untuk menghadapi ancaman Islam radikal.
Sebenarnya puak Arab yang sekular yang ghairah bersekongkol dengan AS dan Zionis Israel serta ISIL yang kononnya mahu menegakkan ‘negara Islam yang tulen’, sudah terperangkap menjadi boneka kepada kuasa Barat.
* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu