TINDAKAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan untuk menubuhkan kerajaan baharu menggusarkan rakyat terutamanya apabila beliau berjaya menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Kegusaran rakyat terhadap situasi politik negara semakin menjadi-jadi apabila UMNO tiba-tiba mengumumkan ia sedang membuat pertimbangan untuk menarik sokongan daripada Perikatan Nasional yang menjadi parti memerintah ketika ini.
Terbaharu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula mendesak usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dibahaskan di Dewan Rakyat.
Rentetan itu, Malaysia kini bergantung harap kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah untuk menentukan siapa yang layak untuk mengemudi negara jika ditakdirkan pemerintahan Muhyiddin berakhir dalam jangka waktu terdekat.
Hairan, dalam keadaan negara berdepan peningkatan kes koronavirus (Covid-19), orang politik masih ligat mencari peluang untuk mengejar cita-cita mereka.
Tidak bolehkah mereka melakukan gencatan politik sebentar dan mendahulukan kepentingan rakyat untuk menangani Covid-19?
Tidakkah mereka sedar rakyat yang semakin tenat kerana peningkatan kes Covid-19 adalah petanda awal bahawa mereka akan berdepan kesukaran hidup buat kali kedua dalam tahun sama?
Rakyat yang baru sahaja hendak bernafas kembali lemas apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikenakan lagi di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah untuk mengekang penularan virus.
Ternyata, apa yang berlaku itu menunjukkan orang politik sebenarnya tidak semestinya membela nasib rakyat. Sebaliknya, mereka mengutamakan diri sendiri demi kedudukan masing-masing.
Rakyat pula terus terumbang-ambing mencari hala tuju hidup. Nasib mereka tetap sama walaupun tampuk pemerintahan berubah. Perit yang serupa dirasai dan tidak pernah berhenti.