MELAKA TENGAH - Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda negara kira-kira seminggu lepas menyebabkan pengusaha sektor perhotelan yang bergantung kepada aktiviti pelancongan, merangka strategi baharu bagi berdepan cabaran berkenaan.
Tinjauan Bernama di sekitar Bandar Hilir di sini, yang terkenal sebagai pusat pelancongan di Semenanjung Malaysia mendapati banyak hotel menawarkan pelbagai pakej istimewa membabitkan penginapan, tempat bermesyuarat serta makanan bagi menarik pelancong domestik menginap di premis mereka.
Sebagai contoh, Hotel Lacrista Melaka di Jalan Hang Tuah di sini menawarkan 'Breakout Package' iaitu penginapan jangka panjang bagi bilik untuk dua orang dengan harga istimewa dan pakej itu turut memberi perkhidmatan dobi percuma kepada pengunjung serta kemudahan kredit untuk makan dan minum di ‘coffee house’ di hotel itu.
Pengarah Urusannya, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, pengunjung sekurang-kurangnya perlu menginap antara tujuh hingga 14 malam di hotel tersebut dan langkah itu diambil bagi memastikan hotel terus bertahan ketika menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang berlaku akibat Covid-19.
Menurutnya, Hotel Lacrista Melaka yang dibuka pada 1 Januari lalu selepas mengambil alih daripada pengurusan Hotel Avillion Legacy turut terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, menerusi pengambilalihan itu, pelbagai penambahbaikan dari segi bilik dan kemudahan telah ditambah baik bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan hotel terpaksa ditutup ekoran pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas sebelum dibuka semula pada 10 Jun dan situasi berkenaan memberi tekanan kepada pihak pengurusan.
Rosthman berkata, bagi bulan Oktober, hotel berkenaan dianggarkan mengalami kerugian lebih 60 peratus daripada unjuran jualan yang disasarkan namun yakin situasi itu akan berakhir selepas PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya tamat kelak.
Sementara itu, Pengurus Besar Hatten Hotel Melaka, Datuk Chuck Kassim berkata, pihaknya memperkenalkan pakej kepada pelancong domestik membabitkan penginapan lebih lama selain pakej kemudahan mesyuarat secara maya serta promosi makanan dan minuman.
"Lagipun kita tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir dan ini adalah antara strategi segera yang kita laksanakan bagi menarik pelanggan domestik memandangkan ketika ini pasaran pelancong Singapura terjejas teruk disebabkan penutupan sempadan. Setakat ini sambutan amat menggalakkan," katanya.
Sabtu lalu, Bernama melaporkan sektor perhotelan di negara ini kembali berdepan tempoh getir susulan gelombang baharu penularan wabak Covid-19.
Menurut laporan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng menjangkakan berlaku penurunan kadar penginapan sekitar 15 peratus untuk tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, iaitu kerugian antara RM60 juta hingga RM100 juta bagi sektor itu.
Beliau juga berkata, kaji selidik yang dijalankan mendapati sektor perhotelan negara ini dijangka mengalami kerugian sekitar RM6.3 bilion tahun ini, merangkumi RM3 bilion untuk enam bulan pertama dan RM3.3 bilion bagi enam bulan kedua. - Bernama