Rahmat di sebalik pandemik Covid-19

Iklan
Di sebalik tekanan pandemik yang memaksa pengguna untuk menggunakan teknologi maklumat, ia sebenarnya menyebabkan kalangan celik komputer semakin bertambah. Gambar kecil: Dr Radduan

SHAH ALAM - Pandemik koronavirus (Covid-19) bukan setakat memberi kesan kepada pergerakan manusia tetapi impaknya juga memberi peluang baharu atau dengan kata lain, rahmat di sebalik bala.

Pakar Kemaslahatan dan Keselamatan Sosial, Dr Radduan Yusof mengakui bahawa Covid-19 turut menyebabkan aktiviti pendidikan negara terencat akibat penutupan pusat-pusat pendidikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun masih ada yang dibuka, namun terdapat segelintir ibu bapa yang tidak yakin untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah kerana bimbang penularan virus tersebut yang menunjukkan peningkatan setiap hari.

"Keadaan itu menyebabkan anak-anak di semua peringkat tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya diterima. Kaedah pendidikan normal baharu yang mengutamakan penggunaan teknologi menambahkan lagi jarak sosial masyarakat.

Iklan

"Keutamaan diberikan terhadap penggunaan teknologi itu sendiri dan bukannya isi kandungan. Masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh pelajar yang sukar menerima kaedah pembe-lajaran sebegini tetapi juga pendidik yang masih belum bersedia untuk menggunakannya,” kata beliau kepada Sinar Harian di sini semalam.

Radduan yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata demikian sebagai mengulas kesan Covid-19 dalam kalangan masyarakat sempena program baharu Wacana Al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Sinar Harian dan Karya Bestari yang bakal menemui penonton pada 19 Oktober ini.

Iklan

Radduan berkata, di sebalik tekanan pandemik yang memaksa pengguna untuk menggunakan teknologi maklumat, ia sebenarnya menyebabkan kalangan celik komputer semakin bertambah dan beliau percaya program Wacana Al-Quran akan mendapat sambutan dalam kalangan pengguna ini.

Malah, menurutnya, hubungan anak, ibu bapa dan guru semakin rapat apabila masing-masing mengambil berat antara satu sama lain serta terlibat dalam pendidikan anak-anak.

"Hubungan sosial keluarga juga bertambah baik kerana ahli keluarga lebih banyak masa bersama untuk melakukan aktiviti riadah dan ibadat di rumah.

"Ibu bapa kini lebih mengambil tahu aktiviti anak-anak, namun komunikasi maya dilihat lebih menjadi pilihan. Jika tidak dikawal selia, ia boleh memberi kesan yang tidak baik pada masa hadapan,” katanya.

Radduan berkata, impak Covid-19 dari segi sosial sememangnya besar tetapi ia boleh dikawal kerana masyarakat kini sudah boleh menerima serta menerapkan amalan norma baharu secara perlahan-lahan.

"Polisi kerajaan untuk menghalang penularan Covid-19 pada awalnya mungkin ‘memeranjatkan’ tetapi kini masyarakat dapat mempraktikkannya dengan baik kerana sedar arahan berkenaan adalah demi kebaikan dan keselamatan bersama.

"Pengenalan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah, dan selepas ini di Labuan juga dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha mengekang gelombang ketiga terutama di kawasan ekonomi aktif dan bilangan penduduk yang tinggi,” kata beliau.