MELAKA TENGAH - Seorang warga emas lelaki ditemukan rentung bersama dua anjing peliharaannya dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Lorong Yang Kee, Kampung Limbongan di sini hari ini.
Ketua Zon Melaka Tengah, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, Penolong Penguasa II Mohd Khairul Nizam Mohd Anuar berkata, dalam kejadian kira-kira 6.47 pagi itu, mangsa, Ong Cheng Seng, 67, dikatakan tinggal seorang diri di rumahnya jenis separuh batu dan papan.
"Mangsa dikatakan telah keluar dari rumah namun masuk semula ke dalam premis berkenaan bagi menyelamatkan tiga anjing peliharaannya.
"Anggota bomba menemukan mayat mangsa yang rentung di bahagian dapur rumahnya dan dua anjing mangsa yang rentung ditemukan di depan pintu rumah setelah berjaya memadamkan kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurutnya, turut terbakar dalam kejadian itu termasuklah sebuah motosikal Yamaha kepunyaan mangsa dan kereta Suzuki Vitara milik jiran.
"Kami berjaya mengawal api dalam tempoh 11 minit sejurus tiba di tempat kejadian pada jam 6.54 pagi, mayat yang ditemui diserahkan kepada polis.
"Operasi pemadaman api itu melibatkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu serta BBP Tangga Batu,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa, Nor Lenny Mohd Sani, 44, berkata, beliau yang sedang menyiapkan anaknya ke sekolah terdengar bunyi letupan beberapa kali kira-kira 6.45 pagi dan kemudiannya terus keluar dan melihat api mula marak.
"Saya menjerit beberapa kali meminta mangsa untuk menyelamatkan diri namun nampak dia telah keluar rumah tetapi dalam keadaan panik dia berlari semula ke bahagian belakang rumah dan saya rasa dia cuba selamatkan anjing belaannya," katanya.
Nor Lenny berkata, beliau yang juga panik kemudian terus mendapatkan anaknya untuk keluar dari rumah manakala suaminya cuba membantu memadam kebakaran namun api marak dengan cepat ke bahagian lain. - Bernama