IPOH - Terdapat kira-kira 1,970 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor yang boleh dimohon dan diisi oleh rakyat Perak.
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, jawatan kosong yang ditawarkan oleh pelbagai industri itu memerlukan penempatan segera bagi membolehkan operasi industri tidak terjejas atas faktor guna tenaga tidak berada pada tahap maksimum.
Menurutnya, bermula Jun hingga September tahun ini, Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) menerima sebanyak 2,247 jawatan kosong meliputi sektor pembuatan sebanyak 770 kekosongan, automotif (881), perkhidmatan (122) dan lain-lain sektor sebanyak 474 kekosongan jawatan.
"Bagaimanapun daripada sejumlah 1,664 pencari kerja yang mendaftar di bawah Pasak, hanya 277 pencari kerja yang telah berjaya atau disenarai pendek oleh industri sehingga kini.
"Ini bermakna, masih terdapat 1,970 kekosongan jawatan kosong yang boleh dimohon dan diisi oleh rakyat Perak.
"Justeru, anak Perak yang tidak atau sedang mencari pekerjaan diminta mengambil peluang-peluang yang ditawarkan oleh industri melalui agensi pelaksana iaitu Pasak," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Razman berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan masalah dihadapi oleh rakyat khususnya mereka yang menganggur atau telah diberhentikan oleh syarikat yang terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Katanya, atas sebab itu, kerajaan Perak telah mengambil pendekatan jangka pendek dan panjang dalam meningkatkan taraf sosioekonomi serta kehidupan rakyat dengan membawa peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri.
Beliau berkata, selain itu pihaknya komited dalam memfokuskan peningkatan modal insan dalam bidang kemahiran.
"Masalah utama yang dihadapi oleh industri kini adalah kurangnya permohonan daripada warga tempatan untuk mengisi jawatan kosong yang ditawarkan khususnya untuk perjawatan sokongan dalam industri pembuatan.
"Penegasan kerajaan dalam mengutamakan pekerja tempatan juga harus dipandang serius oleh industri bagi memberi lebih banyak peluang kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan," katanya.
Sementara itu, Razman berkata, orang ramai khususnya warga Perak yang sedang mencari pekerjaan boleh melayari Facebook Pusat Aspirasi Anak Perak/PASAK untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan peluang pekerjaan di dalam negeri.
Selain itu, beliau menjelaskan peluang latihan kemahiran jangka pendek yang ditawarkan oleh kerajaan negeri harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kebarangkalian mereka untuk diterima bekerja atau menceburi bidang keusahawanan dalam industri kecil dan sederhana.