Tun M juara carta mingguan 'Sibaq Al-Akhbar' Al-Jazeera

Iklan
Tun Dr Mahathir - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir menjuarai carta ‘Sibaq Al Akhbar’ (Berita-berita Dunia Paling Hangat) bagi kategori ‘ Tokoh Minggu Ini’ kelolaan saluran berita Arab terkenal, Al Jazeera apabila memperoleh undian tertinggi penonton saluran televisyen berkenaan.

Keputusan undian yang dipaparkan secara langsung pada setiap Rabu itu menunjukkan Dr Mahathir memperoleh 49 peratus undian responden terdiri penonton saluran televisyen berkenaan di seluruh Semenanjung Tanah Arab sekali gus mengatasi tiga tokoh lain.

Iklan
Iklan

Timbalan Perdana Menteri Itali, Luigi Di Maio memperolehi undian kedua tertinggi dengan 33 peratus diikuti Ulama Saudi Dr Ahmed al-Amari (13 peratus) dan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yaman, Martin Griffiths (lima peratus).

Menurut pengacara program, nama Dr Mahathir menjadi sebutan dan meraih populariti tertinggi minggu ini ekoran kenyataan lantang beliau terhadap isu Palestin-Israel.

Iklan

Sebelum ini, Malaysia menyatakan beberapa pendirian tegasnya untuk tidak menerima penyertaan atlet Israel dalam kejohanan sukan antarabangsa yang dianjurkan di negara ini.

Terbaharu, Malaysia menolak penyertaan atlet Israel dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadual diadakan di Kuching dari 29 Julai hingga 4 Ogos menyebabkan hak penganjuran Malaysia untuk kejohanan itu dilucutkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Ahad lalu.

Iklan

Mengulas mengenai pendirian Mahathir terhadap Israel dalam rancangan yang disiarkan secara langsung itu, Ketua komuniti penyokong Palestin Murad al-Yaqoubi berkata,"Pemilihan Perdana Menteri Malaysia ini mencerminkan pendirian masyarakat Arab sendiri yang enggan mengadakan sebarang hubungan dengan entiti Zionis.

Pendirian Dr Mahathir itu juga katanya khusus menggambarkan pengetahuannya terhadap isu Palestin dan bahaya mengadakan sebarang hubungan dengan Israel.

"Mereka yang mengikuti latar belakang politik Mahathir pasti tahu bahawa beliau menolak sebarang penjajahan terhadap Malaysia dan tidak tunduk kepada mana-mana kuasa. Sebab itu beliau menolak keras sebarang bentuk penindasan terhadap mana-mana bangsa atau penerimaan terhadap kuasa penjajahan di mana-mana negara.

"Sangat sukar untuk mendengar suara sebegini daripada pemimpin rantau ini (Arab) sendiri,” katanya.

‘Sibaq Al Akhbar’ program tv interaktif mingguan berbahasa Arab disiarkan secara langsung oleh Al Jazeera.net dan memberi peluang kepada penonton Semenanjung Arab memilih dan mengundi berdasarkan kriteria tertentu.-Bernama