SHAH ALAM -"Kejayaan adalah satu perjalanan dan untuk mencapainya kita mesti percaya dahulu bahawa kita boleh berjaya dan paling penting kena sentiasa menjaga keakraban dengan ALLAH SWT," kata ikon usahawan muda, Mohd Azlan Abdullah@Ali, 33.
Anak muda berasal dari Jerteh, Terengganu itu berkata, itu adalah antara perkara yang diamalkannya sehingga dengan izin ALLAH beliau akhirnya berjaya mengubah nasib kehidupannya yang sangat miskin pada asalnya daripada seorang pengutip sampah dan kini mampu menjadi ahli perniagaan yang berjaya.
Peneraju syarikat Azlan Al-Amin Properties Sdn Bhd itu berkata, sebelum berada pada tahap sekarang, beliau bergelumang dengan pelbagai cabaran untuk bersekolah, untuk memperoleh rezeki, hidup dalam keadaan sukar tanpa kemudahan asas dan wang, malah pelbagai kerja juga dilakukan seperti mengutip sampah, membancuh air, menjadi kelindan lori demi meneruskan kehidupan.
"Namun saya tetap bersyukur kepada ALLAH dan sentiasa berusaha menjaga hubungan dengan-Nya sebaik mungkin dengan tidak meninggalkan solat lima waktu, melakukan solat sunat seperti solat tahajud dan duha, malah saya tak putus-putus berdoa, merintih meminta kepadanya selalu agar diberikan rezeki yang lebih baik.
"Alhamdulillah usaha dan doa saya akhirnya ALLAH jawab selepas pelbagai ikhtiar dilakukan menemui kegagalan. ALLAH temukan saya dengan insan yang boleh membimbing saya untuk menjadi seorang yang berjaya," katanya.
Beliau merupakan salah seorang panelis program baharu Wacana Al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Sinar Harian dan Karya Bestari yang bakal menemui penonton pada 19 Oktober ini.
Mohd Azlan berkata, selain sentiasa berusaha menjaga keakraban dengan ALLAH, beliau juga sentiasa berfikiran positif untuk memajukan diri dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Sebagai contoh, saya tidak melihat kemiskinan diri dan keluarga sebagai sesuatu yang pahit sebaliknya menjadikannya 'ulam serta penawar' (dorongan) dalam kehidupan untuk tidak berputus asa dan rajin berusaha sehingga mengecapi kejayaan pada hari ini.
"Saya menjadi sabar dan tabah, reda dan sentiasa meletakkan kepercayaan kepada ALLAH tanpa jemu," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, beliau sangat berbangga dapat menjadi antara panelis bagi program Wacana al-Quran yang akan dilancarkan minggu depan.
Menurutnya, beliau percaya platform tersebut bukan sahaja untuk perkongsian ilmu tapi akan dapat mengetengahkan fungsi al-Quran itu sendiri sebagai solusi masalah masyarakat.
"Dengan platform sebegini orang akan dapat melihat bahawa al-Quran bukan sekadar penyelesaian kepada masalah tetapi jalan keluar atau panduan untuk semua masalah dalam kehidupan.
"Platform ini wajar disokong oleh semua lapisan masyarakat dan semoga saya juga dapat berkongsi pengalaman hidup yang boleh membantu kehidupan orang lain menjadi lebih baik," katanya.