TENGKU Razaleigh Hamzah (Ku Li) tak selalu muncul tetapi sentiasa ada. Tokoh veteran ini ada nyawa politik yang panjang. Beliau merupakan ahli Parlimen yang berkhidmat paling lama dalam sejarah.
Beliau dah lalui liku-liku politik yang hebat. Jasanya pun banyak pada orang Melayu dan negara.
Pada hari Selasa baru lalu berita Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong tenggelam apabila keluar cerita Ku Li menghadap Seri Paduka Baginda pada sebelah petang. Selepas itu keluar pula surat beliau pada Speaker Dewan Rakyat.
Banyak perkara menarik dalam surat itu. Beliau tulis pasal nak bawakan usul undi tak percaya pada Tan Sri Perdana Menteri. Hal ini tentulah memeranjatkan oleh sebab datang daripada Ku Li.
Sebelum ini memang ada usul yang dibawa oleh Tun mantan Perdana Menteri. Sehari dua ini pun ada orang lain buat cadangan yang sama.
Dalam surat itu beliau dedahkan bahawa Tan Sri Perdana Menteri tawarkan jawatan Penasihat Petronas pada beliau. Jawatan itu selalunya diberikan pada mantan Perdana Menteri.
Ku Li kata beliau menolak oleh sebab menganggapnya ‘sogokan politik’.
Surat Ku Li ini tentunya beri tekanan lebih besar pada Tan Sri Perdana Menteri dan kerajaannya.
‘Langkah Oktober’ Tun M, Ku Li?
Dalam politik tak ada kawan atau musuh yang berkekalan. Jadi Awang tak hairan jikalau Tun mantan Perdana Menteri dan Ku Li ada langkah tertentu pada bulan Oktober ini.
Memang mereka pernah bermusuhan. Ku Li pernah cabar Tun mantan Perdana Menteri sebagai Presiden UMNO pada tahun 1980-an. Dalam pertarungan yang sengit itu, Ku Li nyaris menang.
Tapi dalam keadaan politik kucar-kacir macam sekarang, mungkin kedua-dua musuh lama itu akan bergabung tenaga cari penyelesaian. Nampaknya faktor Tuk Seri Anwar dah jadi secondary, kata orang putih.
Apabila Awang tengok Tun mantan Perdana Menteri dan Ku Li berjumpa dan bergambar sama, otak Awang mula fikir macam-macam.
Kata orang Melayu, tak ada angin pokok tak akan bergoyang. Gabungan kedua-dua orang yang sama pandai merancang dan atur strategi ini memang boleh goncangkan negara.
Awang rasa sokongan pada Tuk Seri Anwar seperti yang didakwanya pun boleh goncang. Rakyat mahukan kestabilan.
Mungkin mereka tak nampak Tuk Seri Anwar akan jamin kestabilan. Ada kemungkinan mereka nampak orang lain dilantik sebagai Perdana Menteri Sementara atau Interim sehingga tarikh pilihan raya umum.
Bacaan Awang yang tak pandai politik ini, kalau betul ada undi tak percaya dan Tan Sri Perdana Menteri tewas, maka akan dilantik seorang Perdana Menteri Sementara.
Nak buat pilihan raya, rakyat tentu akan marah dalam keadaan wabak Covid-19 sekarang.Sama-samalah kita tunggu!