PENGARAH Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia Datuk Misbun Sidek berpuas hati dengan prestasi pemain yang beraksi dalam saingan 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 yang bermula sejak 12 Oktober lalu.
Kejohanan sulung buat pemain remaja 18 tahun dan ke bawah itu selepas kembali menjalani latihan pada Julai lalu jelas memberi satu impak yang penting buat barisan kejurulatihan untuk menilai prestasi semasa pemain.
"Kita buat pertandingan ranking ini atas dasar kerana tiada pertandingan hampir setahun susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Inilah peluang untuk pemain-pemain menguji tahap mereka.
"Saya lihat daripada pertandingan 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 setakat ini semuanya menunjukkan persaingan kompetitif yang bagus mengikut kategori masing masing,” katanya.
Misi utama Misbun serta barisan kejurulatihan pastinya menilai setiap aspek termasuk mengkaji sebarang kekurangan atau impak positif hasil latihan serta program yang dirangka bagi pasukan pembangunan.
Ia sekali gus mempersiapkan pemain untuk mengharungi saingan Kejohanan Remaja Dunia yang dijangka bermula pada awal tahun depan.
Bagi Misbun yang pernah melatih jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, saingan 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 bukan ukuran utama kerana masih banyak lagi yang perlu diatur dalam misi membentuk pemain pemain yang kompetitif.
"Sepanjang tempoh PKP memberi kami satu kedudukan yang baik yang mana kita boleh melakukan persiapan untuk tempoh jangka masa yang panjang mengikut fasa.
"Penambah baikan boleh dilakukan untuk mengukuhkan pemain pemain dan ketika ini, latihan adalah lebih penting berbanding kejohanan itu sendiri,” jelasnya.
Misbun memberitahu, beliau dapat merasakan beberapa pemain yang menonjol dan tampak mempunyai karakter seperti Chong Wei di usia remajanya, namun ia bukan bermakna tugas pengendali berusia 60 tahun ini semakin mudah.
Ini kerana Misbun turut memberi fokus untuk membangunkan pemain pemain yang berumur lingkungan 13 hingga 15 tahun yang dilihat cukup sesuai untuk digilap sebagai permata baharu badminton negara.