MUAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor terpaksa berhempas pulas mengawal kebakaran yang berlarutan sehingga 15 jam melibatkan sebuah kilang memproses kelapa sawit di Jalan Bukit Mor-Bakri.
Komander Operasinya, Penolong Kanan Bomba II Emil Taihin@Toihin, kebakaran bermula pada jam 9.48 malam itu gagal dipadamkan sepenuhnya setakat jam 12 tengah hari ini.
"Seramai 41 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, BBP Pagoh serta BBP Batu Pahat dikejarkan ke tempat kejadian.
"Operasi ini dibantu empat jentera Fire Rescue Team (LFRT), dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua lori tangki dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, kebakaran melibatkan mesin memproses buah kelapa sawit untuk dijadikan minyak.
Katanya, kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa, operasi memadam masih diteruskan sehingga kini.