KUALA NERUS – Kira-kira 92 rumah rosak akibat dilanda ribut malam tadi dengan sebahagian besar bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin kencang selain ada rumah yang ditimpa pokok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kejadian jam 9.15 malam itu melibatkan 12 kampung antaranya Banggol Donas, Kampung Jeram, Paya Datu dan Tanjung Sabtu.
Menurutnya, Kampung Buluh Gading Dewan dan Buluh Gading Masjid paling teruk terjejas dengan 56 kediaman dilaporkan mengalami kerosakan akibat dilanda ribut yang berlaku antara 10 hingga 15 minit.
"Pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masih mengumpul maklumat penuh kerosakan yang dialami penduduk bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mangsa terlibat dalam kejadian ini.
"Saya juga sudah berhubung dengan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat membincangkan perkara ini dan bantuan akan disalurkan melalui Tabung Darul Iman,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Ridzuan berkata, kawasan Buluh Gading sering kali mengalami kejadian ribut khususnya apabila tiba peralihan Monsun Timur Laut dengan kes paling teruk berlaku pada tahun 2018 melibatkan lebih 500 rumah.
Katanya, kejadian sama turut dilaporkan pada tahun lepas apabila lebih 150 kediaman penduduk rosak dibadai angin kencang.
"Saya harap mereka yang terlibat dapat bersabar dengan ujian yang menimpa dan kita di peringkat DUN akan cuba sedaya upaya mempercepatkan proses baiki rumah yang ditimpa musibah,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa terlibat, Kamaruddin Muda, 50, dari Kampung Banggol Donas berkata, dia tidak sedar rumahnya rosak teruk akibat ditimpa pokok yang dibadai ribut kerana keluar minum di kedai.
Menurut Kamaruddin, selepas ribut yang berlaku kira-kira 10 minit reda, dia bersama beberapa kumpulan anak muda turun padang membantu membersihkan pokok tumbang di laluan kampung berkenaan.
"Dalam jam 12 malam balik ke rumah, ketika mahu ke tandas saya baru perasan bumbung dapur rosak teruk dihempap pokok yang tumbang. Saya segera hubungi MPKK maklumkan kejadian ini untuk tindakan segera.
"Buat sementara waktu ia dibaiki, saya mungkin menumpang dulu di rumah kakak yang tinggal berhampiran,” katanya yang tinggal di rumah pusaka itu seorang diri selepas kematian ibu sejak setahun lalu.