Terjun bangunan kerana terlalu rindu anak, isteri

Iklan
Seorang pekerja Malaysia di Singapura terjun dari tingkat lapan tempatnya tinggal di republik tersebut dan meninggal dunia, kelmarin. Gambar kecil: Lelaki berusia 30-an itu dikatakan mengalami kemurungan disebabkan masalah kerja di samping merindui anak dan isterinya selepas terkandas di Singapura sejak pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), Mac lalu.

JOHOR BAHARU - Akibat terlalu rindu dengan keluarga, seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terjun dari tingkat lapan sebuah apartmen di republik tersebut kelmarin.

Lelaki berusia 30-an itu dikatakan mengalami kemurungan disebabkan masalah kerja di samping merindui anak dan isterinya selepas terkandas di Singapura sejak pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), Mac lalu.

Iklan
Iklan

Pekerja lelaki tersebut berada di republik itu sejak hampir lapan bulan lalu dan kisahnya terjun dari apartmen tempat dia tinggal tular dalam Facebook rakyat Malaysia bekerja di Singapura sejak semalam.

Menurut seorang pekerja Malaysia di Singapura yang enggan dikenali, mangsa bekerja di sebuah syarikat kurier di republik itu menghadapi tekanan hidup bukan saja terpaksa tinggal berjauhan dengan keluarga malah bebanan kerja bertambah susulan wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan

"Lelaki itu sudah beberapa kali mengadu kepada isterinya yang dia tertekan di tempat kerja. Namun dia tidak pula menunjukkan sebarang perubahan sikap setiap kali membuat panggilan secara video dengan isterinya.

"Ini kerana dia dilihat sentiasa ceria, selain selalu mengungkapkan kata rindu dan tidak sabar bertemu isteri dan anaknya. Dia juga ada memaklumkan sedang membuat persiapan pulang ke Johor Bahru dalam masa 10 hari lagi menerusi inisiatif Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), namun berita dia terjun dari apartment dua hari lalu sangat mengejutkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Mangsa meninggalkan isteri dan seorang anak perempuan berusia empat tahun.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Petugas Khas Pekerja Malaysia di Singapura, S Dayalan berharap kerajaan Pusat dan negeri membuat siasatan menyeluruh susulan kejadian tersebut kerana kes seumpama itu semakin meningkat selepas sempadan kedua-dua negara ditutup.

Beliau mendakwa, tiga kes bunuh diri berlaku sejak wabak Covid-19 menular susulan sempadan Malaysia-Singapura ditutup Mac lalu.

"Perkara ini kena siasat, mengapa mereka bunuh diri. Adakah kerana tertekan hidup akibat bebanan kerja, dibuang kerja atau rindu kerana berjauhan terhadap keluarga," katanya.