JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Bahagian Sembrong mempersoalkan kewajaran pelantikan seorang ahli DAP sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Ketuanya, Hafiz Ariffin berkata, apa yang dipersoalkan bukan individu bernama Sheikh Umar, sebaliknya parti diwakilinya.
"Umum mengetahui bahawa dasar perjuangan DAP adalah jauh sekali untuk menjunjung perjuangan yang berteraskan agama malah dilihat lebih condong kepada pendekatan sekularisme,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hafiz berkata, menggunakan individu yang mempunyai latar belakang agama mungkin dapat mengaburi pandangan orang ramai.
"Namun sudah masanya untuk orang ramai mengetahui bahawa di bawah perlembagaan DAP, merujuk kepada Perkara 2 terdapat petikan yang menyatakan ‘mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal’.
"Maka ia amat bertentangan dengan norma dan nilai masyarakat yang mengiktiraf Perlembagaan Malaysia dalam rangka kerja Islam,” katanya.
Menurutnya, penglibatan anggota DAP bakal menjadikan Yadim sebagai alat mempromosikan versi Islam sekular dan liberal untuk mengubah kefahaman Islam sedia ada oleh masyarakat Malaysia.
Menurutnya, ahli DAP juga terikat dengan agenda dan perlembagaan parti iaitu agenda peribadi ahli parti perlu selari dengan Perlembagaan Parti.
"Walaupun ada pendidikan agama, tetapi akan tertakluk dengan dasar DAP yang sekular. Ia tidak menjadikan rakyat tenteram dengan penglibatannya selaku ahli DAP di dalam Yadim.
"Ini disebabkan sikap DAP yang konsisten menunjukkan ketidakmampuan mereka menjaga kepentingan masyarakat majoriti Islam. Bahkan, tiada pimpinan DAP beragama Islam yang bersuara menegur pendirian parti yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam,” katanya.
Hafiz berkata, penglibatan calon yang ‘berkelayakan’ dengan imej parti DAP lebih membimbangkan masyarakat.
"Hari ini kerajaan PH gagal dalam menunaikan janji untuk tidak melibatkan mana-mana figura politik untuk menerajui agensi kerajaan, malah mereka lebih agresif menempatkan ahli-ahli mereka.
"Maka, Pemuda Sembrong menggesa supaya pelantikan ini dibatalkan serta merta demi menjaga kesejahteraan dan sensitiviti umat Islam,” katanya.