Pertubuhan Islam Perancis kutuk insiden guru dipenggal

Iklan
Mangsa dikenali sebagai Samuel Paty dibunuh suspek kelahiran Rusia berketurunan Chechen selepas didakwa menghina Nabi Muhammad SAW. - Foto Agensi

PARIS - Beberapa kumpulan utama mewakili masyarakat Islam di Perancis mengecam pembunuhan kejam seorang guru lelaki di pinggir bandar Paris kelmarin.

Majlis Agama Islam Perancis (CFCM) berkata, pembunuhan itu adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan mengaitkannya sebagai serangan pengganas Islam adalah tidak relevan sama sekali.

Iklan
Iklan

"Islam tidak menyokong malah mengutuk serta melarang umatnya melakukan keganasan.

"Apa pun alasannya, kami mengutuk keras pembunuhan itu,” menurut kenyataan CFCM di Twitter semalam.

Iklan

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang (waktu tempatan) itu, mangsa dipenggal berhampiran sebuah sekolah di Conflas Saint-Honorine kira-kira 30 kilometer (km) di barat daya Paris.

Sebelum itu, mangsa didakwa memaparkan kartun merujuk sebagai Nabi Muhammad SAW ketika mengendalikan subjek berkaitan kebebasan mengeluarkan pendapat.

Iklan

Suspek utama pembunuhan tersebut dikenal pasti sebagai seorang remaja kelahiran Rusia berketurunan Chechen.

Remaja berusia 18 tahun itu bagaimanapun maut akibat ditembak polis selepas cuba melawan ketika ditahan.

Sementara itu, Kumpulan Muslim Perancis (RMF) menyifatkan pembunuhan tersebut meningkatkan lagi persepsi buruk terhadap umat Islam serta meningkatkan sentimen Islamofobia di negara terbabit.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kami menegaskan bahawa RMF tidak menyokong sebarang bentuk kekerasan,” kata Presiden RMF, Otmane Aissaoui.

Terdahulu, pendakwa antikeganasan Perancis menyifatkan serangan itu sebagai pembunuhan yang berkaitan dengan organisasi pengganas.

Presiden Emmanuel Macron pula menganggap insiden menimpa guru terbabit sebagai serangan pengganas Islam.

Insiden pembunuhan itu berlaku kira-kira dua minggu selepas Macron mengumumkan rancangan mempertahankan nilai sekular bagi menentang kumpulan radikal Islam.

Ia merangkumi pemantauan lebih ketat terhadap organisasi sukan dan persatuan lain supaya tidak menjadi tempat penyebaran Islam serta berakhirnya sistem imam yang dihantar ke Perancis dari luar negara. - Agensi