KUALA LUMPUR - Seramai empat pegawai Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dimobilisasi ke Hospital Tawau, Sabah hari ini bagi menjalankan tugas perubatan forensik dan pengurusan kematian akibat koronavirus (Covid-19) di kawasan timur negeri itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pasukan forensik itu membabitkan seorang pakar perubatan forensik, dua pegawai perubatan dan seorang penolong pegawai perubatan.
Iklan
Iklan
"Bagi pakar perubatan forensik, beliau akan bertugas di Tawau selama tiga bulan. Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.
"Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira-wira negara ini,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook pagi ini.
Sehingga semalam, seramai 767 anggota perubatan dan kesihatan awam KKM daripada pelbagai kategori dan skim perkhidmatan telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu.
Hampir setiap hari terdapat kematian baharu akibat wabak itu direkodkan di Sabah sejak minggu lepas dan empat lagi kes maut dilaporkan di negeri itu semalam. - Bernama
Artikel Berkaitan