JOHOR BAHRU - UMNO mempunyai banyak pilihan ketika ini untuk menentukan jatuh bangun kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO boleh mengukuhkan dan menumbangkan PN malah boleh mempercepatkan pilihan raya umum.
"Tetapi itu merupakan pilihan terakhir kerana kedudukan pandemik yang melanda negara. UMNO tidak akan memperjudikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umum demi suatu pilihan raya.
"Keutamaan parti ialah membentuk kerajaan yang benar-benar boleh mengurus negara yang berada dalam krisis. Untuk itu, UMNO mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik ini dan bukannya sekadar penyeri PN," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, semua pilihan berada pada tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau memahami kehendak dan kemampuan UMNO.
"Keutamaan UMNO ialah kepentingan terbaik Malaysia. Jika itu juga keutamaan Perdana Menteri, beliau sewajarnya melakukan sesuatu dengan segera untuk merungkai kegelisahan yang disuarakan.
"UMNO akan sentiasa menyokong keputusan yang baik. Jadi, pamerkanlah kepimpinan yang ikhlas, yang boleh menukarkan ‘mutual respect’ menjadi ‘trust’ yang sebenar kerana kita semua tahu. 'Trust is earned, not given'," katanya.
Beliau berkata, hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh digambarkan sebagai ‘no trust, only mutual respect’.
Menurutnya, UMNO tidak pernah mempercayai Bersatu kerana parti itu ditubuhkan dengan hasrat untuk memusnah dan menggantikan UMNO.
Bagaimanapun katanya, apabila negara berada dalam keadaan yang gawat pada Februari lalu, UMNO bertindak menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Hasrat UMNO katanya, adalah untuk memberikan lonjakan baharu kepada kedinamikan Malaysia terutama dengan membawa pengalaman yang ada pada UMNO bagi mentadbir semula negara setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal.
"Setelah tujuh bulan, kegelisahan UMNO dengan Bersatu semakin menyerlah. Umum mengetahui kenapa UMNO bukan sahaja tidak mempercayai Bersatu malah, ‘mutual respect’ yang tersisa juga semakin menipis," katanya.
UMNO katanya, telah beberapa kali menghantar isyarat yang terang lagi bersuluh kepada Perdana Menteri.
"UMNO tidak perlu menjelaskan segala kegusarannya dengan panjang lebar melainkan Perdana Menteri dan Bersatu sengaja untuk tidak memahaminya atau masih tetap mahu mengulang naratif yang sama," katanya.