KLUANG - Misteri kehilangan seorang pesara polis sejak 31 Ogos lalu terungkai dengan penemuan sebuah 'kubur' dalam kebun kelapa sawit di Batu 26, Kahang dekat sini semalam.
Mayat yang sùdah reput dipercayai Su Kim Chiang, 57, ditemukan dalam kubur sedalam 0.9 meter itu.
Anak mangsa, Jacky Su Kai Lun, 32, berkata, keluarganya kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk pengecaman mayat bapanya.
"Semalam polis ada memaklumkan keluarga saya mengenai penemuan jasad dipercayai ayah yang dilaporkan hilang di sebuah kebun kelapa sawit namun tidak memberitahu maklumat lanjut.
"Hari ini saya dan keluarga termasuk ibu hadir ke HSA untuk proses pengecaman," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, keluarganya turut dimaklumkan bahawa motosikal bapanya masih belum dijumpai dan pencarian masih dilakukan.
"Semalam sekitar jam 3 petang saya ke lokasi kubur yang terletak di sebuah kebun milik orang lain itu bersama ahli keluarga.
"Hari ini di HSA kami menerima ziarah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang meminta kami bersabar dan menunggu hasil bedah siasat," katanya.
Kai Lun berkata, ahli keluarga terutama sekali ibunya sedih menerima khabar itu namun lega kerana pencarian mereka berakhir sekiranya mayat itu adalah bapanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan akan memberi kenyataan media dalam masa terdekat.