PENINGKATAN tertinggi kes 871 baharu Covid-19 semalam cukup membimbangkan. Penyakit ini reda dan muncul kembali dalam gelombang ketiga yang menakutkan.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri yang terjejas terus dipantau oleh pihak berkuasa dengan menguatkuasakan SOP agar dapat dikekang.
Malah, boleh dijangkakan jika kes baharu terus meningkat, mungkin satu Malaysia akan kembali berada dalam PKP yang pernah kita alami pada pertengahan Mac yang lalu.
Namun dalam masa kritikal begini, kita disuakan pula dengan krisis politik yang tidak berkesudahan. Rakyat juga terkesan dengan usaha pengumuman pertukaran pemerintah ditambah lagi dengan pelbagai spekulasi.
Rakyat sebenarnya tertekan dan terhimpit dek adegan ‘pemainan’ ini. Harapan rakyat adalah Covid-19 dapat dihapuskan dan ekonomi serta kehidupan kembali normal.
Bila agaknya pemimpin boleh lockdown berpolitik? Bila masanya mereka berkhidmat untuk masyarakat seperti yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya jika asyik berusaha menukar pemerintah?
Untuk rekod sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), gejolak politik menyaksikan perebutan kuasa. Mungkin atas dasar demokrasi tiada salahnya usaha begini kerana ia dibenarkan berasaskan undang-undang. Namun persoalannya adakah sesuai di kala pandemik Covid-19 sedang mengganas?
Namun di sudut pandangan rakyat, adegan melompat parti dan pembentukan blok sokongan agak menjengkelkan. Rakyat dan pengundi yang memberi mandat tetapi pemimpin sesuka hati menukar haluan parti politik.
Malah ramai mahukan agar disegerakan pilihan raya dan biar rakyat yang menentukan kerajaan yang baharu.
Adakah sesuai buat masa ini untuk Malaysia menganjurkan PRU15 jika kemelut politik berterusan dan tidak dapat dibendung lagi? Sebenarnya, beberapa negara menangguhkan pilihan raya mereka demi mengutamakan keselamatan rakyatnya daripada terus diancam oleh Covid-19.
Malaysia perlu meneliti sedalam-dalamnya untuk mengadakan PRU dalam keadaan berisiko.
Sesetengah pengundi menyatakan rasa muak dan jelak dengan aksi pemimpin sebegini. Mereka mendakwa pemimpin sebegini tidak lagi memfokuskan kepada perkhidmatan mereka sebagai wakil rakyat. Pengundi juga mempertikaikan konsep kesetiaan kepada parti politik dan pemimpin selama ini.
Kemelut
Sedangkan dalam masa berkempen pemimpin yang mahukan pengundi memilih mereka atas parti politik yang didokongnya. Namun berubah arus sokongan, mungkin demi jawatan?
Sebenarnya rakyat keliru kerana sokongan yang dilakukan oleh pemimpin berubah-ubah dalam masa beberapa bulan kebelakangan. Ini adalah sindrom sokongan dalam era normal politik baharu yang agak asing dalam kalangan masyarakat.
Ternyata pengundi diheret dalam kancah perubahan kuasa dalam kalangan pemimpin atasan. Pengundi juga akan menjadi galang ganti apabila tersepit dan meraih sokongan demi kepentingan pemimpin tertentu.
Ironinya, warna-warni politik Malaysia sebenarnya pertembungan menuntut sokongan dalam kalangan Melayu dan Islam. Senario dan sejarah politik sebegini berterusan sejak awal nama parti politik di Tanah Melayu diperkenalkan hingga kini.
Lalu kita terfikir apa maksud mengutamakan kesejahteraan, membela masa depan rakyat yang sering diuar-uarkan oleh pemimpin dalam berpolitik? Sejauh mana sebenarnya keikhlasan dan kewibawaan pemimpin sebegini?
Rakyat sebenarnya mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan terus memperjuangkan pembangunan dalam aspek kehidupan. Semua pihak yang terlibat dalam kancah politik dalam negara kita perlu mengambil segala bentuk langkah dengan segera bagi memastikan kerajaan Malaysia ini kekal stabil.
Kestabilan dalam proses pentadbiran negara adalah penting bagi memastikan proses perjalanan pentadbiran kerajaan dalam negara kita dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.
*Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara