Ramai tak faham maksud raja berperlembagaan

Iklan
Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz ketika bercakap dalam Wacana Sinar Ke-89 membicarakan topik Raja Berperlembagaan: Kedaulatan dan Cabaran yang berlangsung di Dewan Karangkraf, di sini, semalam. - Foto SINAR HARIAN oleh ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Tahap kefahaman mengenai institusi raja atau raja berpelembagaan dalam kalangan rakyat di negara ini masih rendah.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, beliau percaya ramai dibesarkan dengan fahaman bahawa Raja Melayu bertindak atas nasihat dan tidak memahami maksud sebenar:-

Iklan
Iklan

"Saya beri contoh pembubaran Dun dan Dewan Rakyat. Tapi Dewan Rakyat tidak mempunyai masalah.

Setakat ini ada masalah di peringkat negeri tentang pembubaran Dun. Apabila seorang menteri besar dikatakan hilang kepercayaan majoriti, beliau akan mengadap sultan untuk memohon supaya Dun itu dibubarkan.

Iklan

Itu adalah satu permintaan dan dari situ raja mempunyai kuasa budi bicara untuk tidak bubar dewan tersebut. Tapi kita lihat apa yang ditulis di media-media sosial oleh rakyat yang menyatakan kenapa raja tidak bertindak atas nasihat.

Perkataan nasihat itu sering disalah erti kerana perkataan dalam perlembagaan dalam versi bahasa Inggeris, kita guna advice yang membawa maksud perkara yang baik-baik. Ia adalah pertentangan kepada perkataan vice. Raja juga perlu menerima nasihat yang baik-baik.

Iklan

Ini kerana dalam perlembagaan diberikan hak kepada raja-raja untuk meminta maklumat daripada kerajaan tentang situasi semasa negeri. Baginda berhak. Perkara tersebut ada ditulis dalam perkara 40 (1) walaupun bertindak atas nasihat tetapi baginda mempunyai hak untuk mengetahui tentang hal ehwal semasa negeri.

Selain itu terdapat polemik berkaitan istilah raja sebagai simbol. Apabila simbol, raja perlu bertindak atas nasihat tanpa mengambil kira peruntukan dalam perlembagaan yang memberikan kuasa budi bicara yang mutlak kepada raja-raja.

Maknanya ada lagi ciri-ciri yang dikatakan budi bicara kepada raja itu. Dalam Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan menyebut kedaulatan raja adalah kekal sebagaimana sebelum ini. Apabila menyatakan raja-raja itu mempunyai kedaulatan, baginda mempunyai kuasa dan kekuasaan. Perkataan kedaulatan itu menyatakan tentang ada kedaulatan, kuasa dan kekuasaan.

Kalau ada kedaulatan tetapi perlembagaan tidak memberikan baginda kuasa, maka tidak ada kekuasaan dan ia tidak bererti. Tapi, raja berpelembagaan walaupun bertindak dalam kebanyakan perkara atas nasihat tetapi ada ruang-ruang diberikan kepada baginda menerusi perlembagaan.

Cabaran utama adalah dari segi kefahaman sejarah dan perlembagaan itu sendiri. Sebagai pelajar undang-undang, saya boleh katakan bahan baca mengenai perkara ini belum lengkap.

Kalau kita lihat kepada perlembagaan ini, bila saya senaraikan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong atau raja diperingkat negeri, ia amat luas sebenarnya. Kita jelas tentang soal agama di bawah budi bicara raja yang tak boleh dipersoalkan.

Tetapi malangnya, ada negeri-negeri terutama yang tidak mempunyai raja ini membuat satu undang-undang berkaitan agama tertakluk kepada Yang Dipertua Negeri bukan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jika negeri yang tidak ada raja, ketua agama Islam adalah Yang di-Pertuan Agong. Dalam perundangan kita sendiri tidak meraikan apa yang ada dalam perlembagaan. Sebagai contoh Perkara 35 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan tentang peranan Majlis Agama Islam untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan ini tidak direalisasikan di peringkat negeri-negeri yang tidak ada raja.

Dalam isu semasa berkaitan lantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ia perlu dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah berbincang dengan Majlis Raja-raja. Tidak ada peranan institusi politik dan institusi demokrasi di situ. Dalam cabaran ini perlu kita gunakan sistem pendidikan formal dan penyelesaian di peringkat tidak formal.

Saya percaya kita masih keliru dengan identiti negara. Kalau kita lihat perlembagaan, ramai melihat ia sebagai undang-undang. Perlembagaan ini bukan hanya undang-undang sebaliknya dokumen sosial tentang ketatanegaraan kefahaman tentang perlembagaan, asasnya untuk membentuk jati diri dan memahami asas kenegaraan.

Apabila telah mantap dengan asas kenegaraan ini, baharulah institusi raja berpelembagaan dapat difahami dengan mantap. Sekarang masih timbul polemik nak raja atau tidak di media sosial. Kita perlu tegaskan segala indentiti itu ada dalam perlembagaan dan ia perlu dididik bukan sebagai undang-undang sahaja.

Pemantapan jati diri dilaksanakan di pelbagai peringkat termasuklah berkaitan perkara berkaitan raja berpelembagaan. Dalam kurikulum pendidikan ia perlu dimasukkan sama ada secaa formal atau tidak.

Institusi beraja ini tidak boleh dibicarakan secara bermusim, ia perlu setiap masa dan dihayati oleh rakyat setiap. Kalau bercakap tentang undang-undang selama mana kamu tidak dapat selesaikan masalah kerana perkara telah berlaku, baharulah undang-undang itu datang tetapi perlembagaan itu membentuk jati diri rakyat dan asas kenegaraan.

Saya melihat istilah raja berperlembagaan ini dikenali rakyat Malaysia. Kalau ditanya tentang sistem apa yang kita amalkan sekarang berkaitan institusi beraja ini, ramai mengatakan kita amalkan sistem raja berpelembagaan. Sebenarnya dari sudut akademik, tidak ramai menyenaraikan ciri-ciri raja berpelembagaan.