Dilema kerajaan Muhyiddin

Iklan
Tuntutan politik terbaru UMNO ternyata memberi kesan besar bukan sahaja terhadap masa hadapan kerajaan Perikatan Nasional (PN), bahkan nasib parti dalam pakatan itu sendiri.

SEJAK 13 Oktober lalu, dinamik pergolakan politik melibatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin memuncak dan memeningkan.

Susulan sesi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, rakyat negara ini semakin keliru dengan komplikasi plot politik direncanakan pelakon-pelakonnya setiap hari.

Iklan
Iklan

Plot drama semakin berpusing bermula dengan tuntutan ‘berani mati’ Biro Politik Majlis Tertinggi (MT) UMNO mempertimbangkan keputusan menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN pada malam hari yang sama.

Keesokannya, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula membuat kejutan apabila mendedahkan permohonan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin untuk dipertimbangkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun apabila bermulanya sidang Parlimen, 6 November nanti.

Iklan

Langkah politik Ku Li itu turut disambut kumpulan ahli Parlimen diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melakukan inisiatif sama, disusuli 11 ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) 16 Oktober lalu.

Tidak cukup dengan itu, kecoh penularan surat-surat didakwa dokumen sokongan sebilangan ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kepada Anwar bagi membentuk kerajaan baharu sambil disaksikan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iklan

Sama ada secara kebetulan atau pun dirancang, pendedahan surat-surat tular ini sedikit sebanyak menambahkan lagi kegusaran rakyat meskipun dinafikan Ahmad Zahid melalui pegawai medianya.

Dengan peningkatan gelombang ketiga pandemik koronavirus (Covid-19) saban hari, rakyat pastinya berang sikap ahli politik yang berterusan ‘berpolitiking’ pada saat nyawa mereka menjadi taruhan.

Tindakan rakus mereka sekali gus mengundang kebimbangan majoriti rakyat Malaysia dengan kedudukan terkini kerajaan PN sebenarnya boleh diibaratkan seperti ‘meniti titian usang’.

Muhyiddin

Tekanan buat PM

Menurut sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tekanan terkini UMNO terhadap Muhyiddin dan parti itu sebenarnya bersifat ‘kamikaze’ kerana keputusan itu bukan sahaja mampu meruntuhkan kerajaan PN, bahkan masa depan UMNO sendiri.

Oleh itu, Muhyiddin kini berdepan dilema kerana rakyat pasti akan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri itu sekiranya beliau tunduk terhadap tekanan UMNO dan sekiranya beliau enggan, kestabilan kerajaan pula menjadi pertaruhan.

"Bersatu melihat tekanan dan tuntutan UMNO mampu mendatangkan kemudaratan kepada imej kerajaan PN, lebih-lebih ‘ugutan’ daripada kumpulan ahli Parlimen ‘kluster mahkamah’.

"Bahkan apabila tular surat sokongan UMNO terhadap Anwar, meskipun dinafikan wakil Presiden parti, para pemimpin parti Melayu tertua itu dilihat semakin panik sehingga terpaksa menjadikan Bersatu sebagai ‘kambing hitam’ bagi memberi justifikasi terhadap langkah politik terkini mereka.

"Pandangan peribadi saya, sekiranya Muhyiddin berterusan ditekan dengan tuntutan tidak munasabah, Majlis Raja-Raja Melayu wajar campur tangan melalui penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) 2.0 atau menggantung sidang Parlimen dengan melantik kembali ‘Abah’ sebagai Perdana Menteri interim,” kata sumber Bersatu itu kepada Sinar Harian semalam.

Selain itu, dakwaan Bersatu cuba membunuh UMNO juga disifatkan tidak berasas dan menyerlahkan sikap paranoid pemimpin parti itu.

"Masihkah Ahmad Zahid dan ahli-ahli Parlimen UMNO ingat saat mereka datang ke rumah Tan Sri Muhyiddin berulang kali meminta bantuan Bersatu keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi menubuhkan kerajaan Melayu Islam? Adakah Muhyiddin yang pergi ke rumah mereka?

"Hakikatnya, dalam kemelut terbaru ciptaan Anwar ini, imej Bersatu sebenarnya langsung tidak terjejas dalam kalangan pengundi Melayu Islam, sebaliknya integriti UMNO semakin musnah pada kaca mata rakyat gara-gara terpalit dalam gerakan itu,” kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan pemimpin akar umbi UMNO, Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin yang menjelaskan terdapat two side of the coin atau ada kisah di sebalik isu tuntutan terkini UMNO terhadap Muhyiddin.

Muhyiddin

Di sebalik tuntutan UMNO dilihat sebagai gerakan meruntuhkan kerajaan Muhyiddin, tidak ramai meneliti dari satu sudut lain iaitu UMNO mahu perjanjian baharu lebih telus susulan merasakan ada ‘ketidakjujuran’ dalam hubungan kerjasama antara mereka.

"UMNO juga tidak sesekali mengambil kesempatan daripada ‘Langkah Anwar’ untuk menekan kerajaan PN kerana bahang kemarahan akar umbi parti itu terhadap Bersatu hakikatnya sudah memuncak sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lagi,” katanya.

Muammar Ghadafi yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) juga menafikan pucuk kepimpinan UMNO sebenarnya tidak senada dalam mendepani polemik penularan surat sokongan ahli Parlimen parti itu terhadap Anwar.

Masih ada jalan penyelesaian

Ditanya sama ada tuntutan terkini UMNO itu mampu memberi impak negatif terhadap masa depan kerajaan PN, Muammar Ghadafi menyarankan semua pemimpin parti dalam kerajaan PN duduk semeja, berbincang elok-elok dan mencapai satu kata sepakat demi rakyat.

"Kita harus menghentikan kenyataan berbentuk ‘friendly fire’ kerana ia bukan sahaja akan membuka pekung pada dada kerajaan memerintah, bahkan memberi ruang parti pembangkang memecahbelahkan ikatan kerjasama antara parti-parti dalam PN,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Jayum Jawan pula berpandangan Muhyiddin tidak perlu melayan kerenah politik pihak tertentu yang akhirnya menjejaskan usaha kerajaan PN menangani impak Covid-19 terutama dari aspek ekonomi dan keselamatan rakyat.

Pada saat genting sebegini, beliau menjelaskan Muhyiddin sepatutnya diberi ruang menumpukan sepenuh usaha bagi menjaga kepentingan rakyat Malaysia dan tidak dibebani dengan isu-isu politik bersifat picisan.

Profesor Dr Jayum Jawan

"Lagipun, sekiranya benar kerajaan baharu di bawah pimpinan Anwar bakal terbentuk, ia juga tidak akan stabil selagi pembentukan pakatan politik yang ada di negara ini masih longgar,” katanya.

Jayum juga tidak melihat cadangan pembentukan kerajaan interim atas bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong bakal menyelesaikan kemelut politik semasa, selagi mana pelantikan Perdana Menteri interim masih dibuat dalam kalangan orang politik.

"Namun sekiranya lantikan dibuat bukan dalam kalangan orang politik, ada kemungkinan kemelut ketidakstabilan politik negara akan berkurangan sementara menantikan pilihan raya umum mengejut diadakan selepas pandemik Covid-19 reda,” katanya.

Dalam pada itu, cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar menyifatkan kemungkinan terbentuk kerajaan interim sebagai satu teori politik yang menarik untuk diperhatikan.

"Pembentukan kerajaan interim itu dijangka lebih kepada konsep kerajaan perpaduan dengan semua parti termasuk parti pembangkang akan terlibat,” katanya.

Chandra Muzaffar