KOTA MARUDU - Drama pujuk memujuk antara bekas pasangan suami isteri bertukar menjadi tragedi apabila anak mereka berusia enam tahun cedera dalam kejadian di Kampung Kerongkom Laut, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, kanak-kanak lelaki itu mengalami kecederaan di bahagian kiri pinggang belakang dan punggung kiri dipercayai tertembak menggunakan bakakuk.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika bekas pasangan suami isteri itu bersama dua anak mereka dalam dalam perjalanan pulang dari kedai berhampiran.
"Suspek lelaki berusia 58 tahun datang ke rumah bekas isterinya yang berusia 39 tahun dan mengajak membeli bekalan makanan di kedai runcit.
"Perkara itu disaksikan oleh pengadu yang juga kakak kepada bekas isteri suspek dengan membawa dua anak mereka ke kedai runcit berhampiran dengan berjalan kaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, Mohd Izaan berkata, berlaku perselisihan faham antara suspek dan bekas isterinya.
"Suspek dikatakan cuba memujuk bekas isterinya namun dia enggan dan tiba-tiba suspek dilihat mengambil selaras senapang buatan sendiri dan sebaik melihat keadaan itu, bekas isterinya bertindak melarikan diri bersama anaknya.
"Ketika itu, terdengar bunyi tembakan dan apabila melihat ke belakang, suspek memegang senapang sebelum bertindak menerkam.
"Satu pergelutan berlaku antara mereka bertiga dan dalam masa sama bekas isteri suspek menjerit meminta tolong," katanya.
Tambah Mohd Izaan lagi, ketika kejadian pengadu yang berada di rumah tidak jauh dari lokasi terdengar bunyi tembakan dari arah kebun getah dan kelapa sawit serta suara meminta tolong.
"Pengadu bersama beberapa ahli keluarga yang lain terus segera berlari ke lokasi dan suspek berjaya ditangkap dan diikat.
"Dalam masa sama pengadu juga nampak anak saudaranya berlumuran darah di bahagian pinggang," katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk mendapatkan rawatan.
"Mangsa kini berada di wad kecemasan hospital dan dalam keadaan stabil bagaimanapun akan di hantar ke Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut," katanya.
Mohd Izaan berkata, pengadu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan hasil siasatan pasangan itu bercerai pada Ogos lalu.
"Suspek ditahan selepas laporan polis dibuat dan senapang buatan sendiri jenis bakakuk, satu kelonsong peluru serta dua butir peluru hidup turut dirampas.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.