Gabungan semangat Perdana Menteri mampu tangani Covid-19: Rais

Iklan
Rais Yatim

SHAH ALAM - Sekiranya semangat beberapa Perdana Menteri termasuk 'yang bercita-cita tinggi' digabungkan bersama tidak mustahil usaha menangani peningkatan kes koronavirus (Covid-19) dapat diatasi.

Demikian pandangan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyifatkan kerjasama itu wajar dilaksanakan kerana usaha mengekang penularan Covid-19 sudah hampir berjaya sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Seandainya semangat beberapa Perdana Menteri yang bercita-cita tinggi digabungkan dengan tekad untuk mengakhiri wabak Covid-19, kita sudah setengah jalan menuju menjadi sebuah negara yang sejati," ciap Rais di laman Twitternya hari ini.

Beliau turut menggesa parti politik agar dapat melaksanakan gencatan politik selama 365 hari bermula hari ini bagi memberikan ruang kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjalankan tugas.

Iklan

"Biarkan Perdana Menteri (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) menjalankan tugasnya selama 365 hari dari hari ini. Sokong belanjawan. Kemudian aktifkan politik," ciap Rais di laman sosial itu.

Terdahulu, ketidaktentuan baharu politik tercetus selepas UMNO membuat pertimbangan untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan nasional (PN) jika tuntutannya berhubung jawatan tidak dipenuhi.

Iklan

Berikutan itu beberapa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dikemukakan oleh pembangkang dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga merupakan pemimpin UMNO.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga dilaporkan mahu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah diperketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya semalam berkata, perkara itu akan diusulkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.