PERTAHANAN utama Liverpool, Virgil van Dijk berjanji akan kembali bangkit selepas disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut ketika aksi menentang Everton di Goodison Park kelmarin.
Kecederaan tersebut menyaksikan dia perlu menjalani pembedahan dan perlu berehat lama sekurang-kurangnya lapan bulan untuk pulih sepenuhnya.
Menurutnya, dia mengakui kecewa dengan kecederaan tersebut namun tetap bersemangat untuk pulih dan kembali beraksi bersama The Reds.
"Hari ini saya telah bertemu dengan konsultan untuk memulakan rawatan dan merancang dengan lebih baik proses penyembuhan saya.Sekarang saya fokus sepenuhnya pada penyembuhan dan akan melakukan semua yang saya mampu untuk kembali secepat mungkin.
"Sememangnya saya sangat kecewa, tetapi saya percaya apa yang saya alami ini adalah untuk saya menjadi lebih kuat. Dengan bantuan tuhan saya akan kembali dengan lebih baik, lebih cergas, dan lebih kuat dari sebelumnya.
"Dalam bola sepak, seperti juga dalam hidup, saya percaya ada sebab semua perkara ini terjadi. Apa yang paling penting untuk tetap tenang menghadapi masalah ini. Sokongan daripada isteri, anak-anak, keluarga dan semua orang di Liverpool, saya bersedia untuk cabaran yang akan datang.
"Saya berterima kasih kepada semua yang mengirimkan ucapan sokongan dan ia amat bererti buat saya dan keluarga. Dalam tempoh pemulihan saya ini, saya akan melakukan yang terdaya menyokong perjuangan rakan sepasukan. Saya akan kembali," katanya.
Kecederaan van Dijk itu dialaminya selepas diterjah oleh penjaga gol Everton,Jordan Pickford dalam aksi derby Merseyside yang berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.
Kecederaan yang menimpa pemain kelahiran Belanda itu bakal memberikan tamparan besar kepada Liverpool kerana van Dijk merupakan pertahanan utama pasukan itu selain The Reds sedang berusaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang dimenangi musim lalu.