Konstabel polis, rakan mengaku tidak bersalah rompak penganggur

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis berpangkat konstabel bersama rakannya tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan rompak berkumpulan ke atas seorang penganggur berusia 57 tahun minggu lalu.

Mohamad Hazani Omar, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur manakala rakan, Muhammad Faizal Azmin Mohd Azman, 22, sebagai pereka grafik membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hazani melakukan kesalahan itu bersama Muhammad Faizal Azmin dan dua lagi yang masih bebas ke atas Syaifulyazan Hassan dengan mengambil dua gelang tangan emas bernilai RM275.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah mangsa di Flat Sri Melaka, Cheras pada jam 1 pagi, 13 Oktober lalu.

Iklan

Bagi kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Muhammad Faizal Azmin turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu didapati dengan niat menyamar sebagai seorang pegawai kanan polis dan memiliki barang polis antara gari, baju operasi mempunyai pangkat inspektor serta topi berlambang polis.

Iklan

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali manakala Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad tidak mencadangkan ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun mereka yang tidak diwakili peguam, merayu agar dibenarkan untuk diikat jamin dengan kadar yang rendah.

Emilia Kaswati meletakkan kadar jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin kepada Mohamad Hazani.

Dia juga dikehendaki mematuhi syarat tambahan iaitu dilarang untuk mendekati mangsa dan saksi serta perlu berada di rumah bermula jam 11 malam hingga 6 pagi setiap hari sehingga kes selesai.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kepada Muhammad Faizal Azmin kerana tiada pewaris hadir di mahkamah untuk menjamin.

Mahkamah menetapkan 13 November depan sebagai sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.