Al-Sultan Abdullah lafaz sumpah Agong ke-16 hari ini

Iklan
- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam satu upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini, hari ini.

Turut melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Iklan
Iklan

Sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, Perlembagaan Negara menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong secara undang-undangnya menganggotai tiga institusi kerajaan iaitu badan eksekutif, perundangan dan memainkan peranan berkaitan badan kehakiman.

ARTIKEL BERKAITAN: Al-Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Iklan

Berdasarkan sistem penggiliran Raja-raja Melayu, Al-Sultan Abdullah akan menjadi Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun.

Pemilihan Seri Paduka Baginda sebagai Agong ke-16 mencatatkan sejarah tersendiri buat negara terutama rakyat Pahang.

Iklan

Al-Sultan Abdullah diundi dan dipilih menerusi sidang Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja Melayu pada 24 Januari lalu iaitu selepas 14 hari baginda dilantik sebagai Sultan Pahang oleh Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.

Seri Paduka Baginda dipilih sebagai Agong ke-16 selepas Sultan Muhammad V meletakkan jawatan pada 6 Januari lalu.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira jam 7.30 pagi.

Seri Paduka Baginda berdua kemudian akan berkenan menghadiri Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong di Dataran Parlimen, jam 9 pagi.

Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan dilangsungkan pada jam 10 pagi di Istana Negara.

Istiadat itu akan disusuli dengan pengisytiharan memegang jawatan.