PPE di Penjara Reman Pulau Pinang hanya cukup untuk seminggu

Iklan
Afif (empat dari kiri) menyerahkan 1,000 helai PPE kepada Azman di hadapan bangunan Penjara Reman Pulau Pinang hari ini.

GEORGETOWN - Bekalan kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas Penjara Reman Pulau Pinang hanya mampu bertahan sehingga seminggu sahaja.

Timbalan Penguasa Penjara Reman Pulau Pinang, Azman Hussin berkata, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di penjara itu dilanjutkan, maka bekalan alat perlindungan diri tersebut tidak akan mencukupi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain PPE, pihaknya turut memerlukan sumbangan pelitup muka, bekalan makanan dan air minuman untuk kegunaan banduan dan petugas penjara.

"Keperluan utama seperti PPE, pelitup muka, bekalan makanan dan air minuman (mineral) amat diperlukan dalam tempoh PKPD di Penjara Reman Pulau Pinang. Di penjara ini, kita memerlukan sekurang-kurangnya 2,305 pelitup muka untuk kegunaan banduan setiap hari.

Iklan

"Jumlah itu tidak termasuk petugas penjara yang bertugas dalam tiga syif setiap hari. Sebanyak 300 hingga 400 helai PPE diperlukan sehari untuk kegunaan petugas mengikut keadaan semasa," katanya ketika ditemui di hadapan bangunan Penjara Reman Pulau Pinang di sini hari ini.

Justeru, Azman memohon sumbangan daripada pelbagai pihak dalam menyalurkan bantuan bekalan semua keperluan asas tersebut bagi memastikan pelaksanaan PKPD Penjara Reman Pulau Pinang berjalan lancar.

Iklan

"Setakat hari ini, bekalan keperluan utama ini masih mencukupi apabila ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan banyak lagi tampil memberi sumbangan. Namun kita bimbang, jika PKPD dilanjutkan selepas 27 Oktober ini, maka bekalan berkemungkinan tidak mencukupi.

"Oleh itu, saya berharap ada ramai lagi yang boleh menyalurkan bantuan keperluan utama untuk kegunaan petugas dan banduan di sini," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dilaksanakan ke atas penjara reman dan kuarters kediaman di daerah Timur Laut.

Beliau berkata, perintah berkenaan akan berkuat kuasa pada 15 Oktober yang membabitkan 2,306 banduan, 304 petugas dan keluarga di kuarters kediaman selain 220 petugas serta keluarga yang tinggal di luar kuarters.

Sementara itu, Azman berkata, semua petugas penjara mula menjalani ujian darah untuk memastikan tiada dalam kalangan mereka dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).

"Ujian saringan (swab test) telah dijalankan sebanyak dua kali terhadap petugas penjara dan keputusan kekal negatif. Namun, untuk kepastian (lagi), bermula hari ini semua petugas diarahkan menjalani ujian darah pula.

"Selain itu, semua ahli keluarga petugas penjara yang tinggal di kuarters sudah selesai menjalani ujian saringan namun keputusan belum diperolehi. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan secara rasmi nanti," katanya.

Terdahulu, Azman menerima 1,000 helai PPE daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin untuk kegunaan petugas Penjara Reman Pulau Pinang.