PKPP: 35 pemilik premis di Kelantan ingkar SOP

Iklan
Shafien (kanan) turun padang meninjau pematuhan SOP di Pasar Tasek Raja, Pasir Mas hari ini.

PASIR MAS - Seramai 35 pemilik premis perniagaan di negeri ini dikompaun kerana ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, kegagalan pematuhan SOP itu melibatkan penyediaan cecair pembasmi kuman, alat pemeriksa suhu badan dan buku rekod kedatangan pelanggan ke premis.

Iklan
Iklan

"Kita ambil serius perkara ini dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Shafien bersama Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Shariff turun padang meninjau pematuhan SOP di Pasar Tasek Raja.

Iklan

Hadir sama, Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Nor Nik Ishak.

Menurutnya, sepanjang tempoh Mac hingga semalam, sebanyak 986 kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang melanggar SOP.

Iklan

Katanya, kegagalan memakai pelitup muka menjadi penyumbang tertinggi kepada kompaun tersebut.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja melihat kehadiran anggota penguat kuasa orang ramai terus memakai pelitup muka," katanya.

Dalam pada itu, Shafien memberitahu bahawa tahap kepatuhan rakyat negeri ini terhadap SOP kini berada pada 95 peratus dan berharap ia terus kekal agar rantaian pandemik koronavirus (Covid-19) berjaya diputuskan.