SHAH ALAM - Semua parti politik di negara ini diseru untuk berdamai buat sementara waktu demi kesejahteraan rakyat yang kini berada dalam keadaan cemas dan resah dengan penularan koronavirus (Covid-19).
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, senario semasa benar-benar meresahkan semua pihak dengan kes Covid-19 yang kian meningkat.
Katanya, rakyat makin susah, ekonomi negara makin menguncup, pengangguran makin memuncak, ramai hilang punca pendapatan bahkan ada yang jatuh papa kedana.
"Ramai yang saya temui menyatakan kebimbangan dengan unprecedented phenomenon atau fenomena unik yang tidak pernah dialami, namun begitu mencabar dan mengancam kesejahteraan semua.
"Jadi sudah tiba masanya, ahli-ahli politik tidak kira mewakili parti mana sekalipun melakukan gencatan politik untuk memikirkan solusi terbaik bagi menyejahterakan rakyat," katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya semalam.
Dalam pada itu, Aysraf Wajdi turut menyifatkan sekarang adalah masa yang terbaik untuk semua pihak bersama-sama mengetepikan perbezaan, demi memberikan penumpuan kepada agenda Perdamaian Nasional (National Reconciliation).
"Apa yang dimaksudkan dengan Agenda Perdamaian Nasional itu bukanlah bermakna untuk mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.
"Sebaliknya, Agenda Perdamaian Nasional ini memberikan keutamaan kepada parti-parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan yang tajam dalam soal perebutan kuasa.
"Segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya yang ada digemblengkan bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat yang dihimpit segala keperitan lantaran dampak Covid-19 yang kian mencengkam," katanya.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Agenda Perdamaian Politik itu juga adalah manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti siasah untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar kepada perebutan takhta tetapi benar-benar untuk membantu rakyat.
"Maka perlu ada political will (iltizam politik), political commitment (komitmen politik) dan political sincerity (kejujuran politik) yang jitu untuk menjayakan agenda ini secara bersama.
"Jangan nanti kita dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah terhadap isu-isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung," jelasnya.