Dadah RM1.29 juta dirampas di Muar

Iklan
Ayob Khan menunjukkan syabu yang dirampas dalam operasi susulan di kawasan pantai dan kebun kelapa sawit pada sidang media di IPK Johor hari ini.

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menemukan 21.8 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 14,000 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM1.29 juta menerusi dua operasi susulan selama dua hari berturut-turut di Muar.

Operasi berkenaan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Muar pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi pertama dilakukan pada jam 10 pagi di kawasan pantai hutan bakau di Parit Besar Laut dan menemukan sejumlah dadah sebanyak 20.795kg syabu dan 14,000 pil ekstasi bernilai RM1.25 juta.

"Serbuan kedua dilakukan pada jam 12.10 tengah hari di kawasan kebun kelapa sawit dan menemukan 1.064kg syabu bernilai RM42,560.

Antara dadah yang berjaya dirampas dalam operasi dua hari berturut-turut di daerah Muar pada Jumaat dan Sabtu lalu.


Antara dadah yang berjaya dirampas dalam operasi dua hari berturut-turut di daerah Muar pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Iklan

"Operasi itu diadakan berikutan hasil soal siasat terhadap enam suspek berusia antara 20 dan 32 tahun yang ditahan di Muar pada Selasa dan Rabu lalu. Tiada tangkapan dibuat, pihak polis menemukan dadah sahaja," katanya pada sidang media di IPK Johor di sini hari ini.

Pada 13 dan 14 Oktober lalu, polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah ke Bangkalis, Indonesia dan merampas dadah bernilai hampir RM1 juta menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Muar.

Iklan

Menerusi empat serbuan itu, enam suspek berjaya ditahan termasuk seorang lelaki berasal dari Bangkalis dan sindiket tersebut bermula pada 2018 sebelum dapat dilumpuhkan selepas dalangnya diberkas.

Bagaimanapun, sindiket pengedaran dadah tersebut dihidupkan semula oleh isteri kepada dalang tersebut pada tahun ini sebelum berjaya diberkas dalam empat serbuan berkenaan.

Ayob Khan berkata, kesemua dadah tersebut disembunyikan dalam sebuah beg dan diletakkan di tepi pantai dipercayai untuk diambil penyeludup dari negara jiran sebelum diseludup untuk pasaran Indonesia.

Secara keseluruhan katanya, semua dadah yang berjaya dirampas sejak operasi pertama hingga Sabtu lalu melibatkan 37,53kg syabu dan 23,905 biji pil ekstasi yang bernilai RM2.22 juta.

Sementara itu, beliau berkata, JSJN Johor merampas 2.34 tan dadah dianggarkan bernilai RM28.60 juta selain harta dan aset bernilai RM13.14 juta disita sejak awal tahun ini hingga kelmarin.

Jelas beliau, dalam tempoh tersebut pihaknya juga sudah membuat tangkapan terhadap 16,024 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.